satusabah

Asteroid berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi

Satu Hari di Tahun 2013, Azlinariah Abdullah, Kemas kini: Februari 18, 2013 KUALA LUMPUR: SAYA ingin berkongsi rutin pada satu hari...


Satu Hari di Tahun 2013, Azlinariah Abdullah, Kemas kini: Februari 18, 2013


KUALA LUMPUR: SAYA ingin berkongsi rutin pada satu hari di tahun 2013. Sebagai individu yang bertanggungjawab dengan sebahagian proses pengumpulan berita, pada satu hari  itu Jumaat, 15 Februari, 2013, bahan mengenai asteroid yang menghampiri bumi  dicari untuk tujuan siaran kepada khalayak.  Nama asteroid itu, 2012 DA-14, dikatakan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi iaitu 27,800 kilometer.

Hari itu, 15 Februari 2013,  saya juga menonton filem, tajuknya Armageddon. Secara ringkas, filem lakonan Ben Affleck dan Bruce Willis itu adalah tentang asteroid dan ramalan hari pengakhiran.

Walaupun berkali-kali sudah menontonnya, saya tidak pernah jemu di hadapan kaca televisyen selama 90 minit, barangkali kerana latar ceritanya di lapis yang lain adalah mengenai sains _juga menjadi minat saya sebenarnya.

15 Februari 2013, jam 8.45 malam : Semasa bersolat Isyak  sendirian, entah kenapa saya memilih untuk membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Infitar. Antara lain ayat 1 hingga 3 itu menceritakan mengenai peristiwa asteroid, tetapi disebut hujan batu sebagai terjemahannya. Intisari dalam surah itu antara lain menceritakan bagaimana langit terbelah dan bintang-bintang berguguran apabila kiamat nanti.

Hari tersebut juga, tarikh 15 Februari 2013, di mana tidur saya terjaga dengan laporan mengenai meteor terhempas di kawasan pergunungan Ural, di Rusia. Waktu itu, jam menunjukkan 3:45 pagi. Wah, hari saya dari pagi sehingga awal pagi berikutnya  dipenuhi dengan cerita asteroid dan meteor.

Peristiwa-peristiwa yang mengisi hari saya pada tarikh tersebut, segera menghantar saya kepada beberapa waktu sebelum ini. Antaranya, pada 1908, apabila asteroid terhempas di Rusia sehingga menghapuskan jutaan pokok seluas 2,100 kilometerpersegi atau tiga kali saiz Singapura. Jangan dilupakan, 65 juta tahun lalu, meteor melupuskan dinosaur dari muka bumi ini.

Ada yang bertanya, meteor atau tahi bintang atau asteroid itu perkara yang sama atau berbeza? Penjelasan di laman sesawang Angkasa dapat diringkaskan begini. Tahi bintang menghujani Bumi setiap hari dan saiz tahi bintang itu biasanya sebesar guli. 

Di angkasa lepas, terdapat dua jenis tahi bintang, komet dan asteroid yang berlegar dalam orbitnya tersendiri. Biasanya asteroid  setakat batu, manakala komet pula bersalut ais dan kompaun organik.  Apabila komet atau asteroid berpecah, serpihannya dipanggil meteoroid. Jika masuk ke atmosfera bumi dan terbakar ia digelar meteor.

Apa yang berlaku di Rusia pada pagi 15 Februari 2013 ialah gumpalan asap dan cahaya sebelum ia terhempas di sebuah tasik dan membentuk kawah besar. Maka, ia dipanggil hentaman meteor. Tetapi meteor juga disebut tahi bintang di kalangan mereka yang mencintai bahasa, kerana meteor itu diambil daripada perkataan Bahasa Inggeris. 

Insiden di Rusia itu juga menyamai apa yang disebut dalam al-Quran, surah Al-Infitar iaitu tentang keguguran bintang dari langit. Lebih 1,000 orang cedera akibat kesan hentaman tahi bintang tersebut. Beratnya ialah 11 tan dan masuk ke atmosfera bumi dengan kelajuan 54,000 kilometer sejam. Ia berkecai kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari bumi.

Sementara asteroid _ 2012 DA-14 semasa perjalanannya di orbit, tidak menghentam Bumi. Ia melintasi Bumi tanpa ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Tetapi saiznya cukup besar, sebesar separuh padang bola sepak. Semasa menghampiri Bumi, pada tarikh 15 Februari 2013 itu, ia berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi, iaitu 27,800 kilometer sahaja. 

Selepas ini, asteroid yang paling hampir dengan Bumi ialah Apophis iaitu pada 2029. Bayangkan kalau asteroid sebesar separuh padang bola sepak melanggar Bumi semasa ia membuat pusingannya. Sudah pasti kesannya cukup besar sehingga boleh digelar malapetaka.

Umat Islam wajib percaya bahawa hari Kiamat itu pasti tiba, hanya tarikhnya menjadi rahsia Allah. Sains telah banyak membantu manusia dalam mengesan lebih awal bencana-bencana yang menimpa dengan menguasai ilmu. Pembikin filem Hollywood khususnya percaya bahawa dunia ini akan musnah, sebab itu lahirnya cerita seperti Armegeddon dan The Day The Earth Stood Still dan beberapa judul lain lagi. 

Disebabkan percaya bahawa dunia ini akan musnah, mereka mencari dunia lain. Marikh misalnya. Amerika Syarikat sudah memacakkan benderanya di Marikh apabila robot peninjau Curiosity berjaya mendarat dan menghantar imej tahun 2011. Kita sudah tahu siapa yang akan kekal berkuasa seandainya bumi ini ranap, tetapi bukan Kiamat. 

- ASTRO AWANI

Loading...

Related

Rusia 544912945180089766

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item