satusabah

[Grace Point] Tragedi Bersejarah di Sabah

6-6-1976 rakyat Sabah dikejutkan dengan berita sedih,iaitu kemalangan udara yang melibatkan pemimpin2 terkenal negeri Sabah ketika itu....


6-6-1976 rakyat Sabah dikejutkan dengan berita sedih,iaitu kemalangan udara yang melibatkan pemimpin2 terkenal negeri Sabah ketika itu.Tragedi ini lebih di kenali sebagai "DOUBLE SIX"

SEJURUS selepas azan berkumandang dari Masjid Negeri Kota Kinabalu, Sabah kira-kira jam 3.50 petang pada 6 Jun 1976, sebuah pesawat jenis Nomad buatan Australia dilihat berpusing-pusing di udara selama lima minit.

Bagi penduduk Kampung Sembulan, mereka menyangka bahawa gerak-geri pesawat itu dianggap perkara biasa atau latihan penerbangan yang berlaku pada setiap hujung minggu tanpa menimbulkan syak wasangka malapetaka besar akan berlaku.

Tanggapan mereka silap kerana hanya beberapa detik selepas itu, pesawat membawa orang kenamaan kebanyakannya anggota Kabinet Sabah menjunam dan terpacak di perairan cetek, kira-kira 100 meter dari rumah penduduk kampung.

Dentuman kuat menyebabkan kebanyakan rumah bergegar kerana kejadian berlaku terlalu hampir dengan penempatan penduduk yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Sebelas nyawa terkorban termasuk Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephens, anaknya Allahyarham Johari Tun Fuad serta tiga menteri kerajaan Sabah, pegawai kanan kerajaan dan anak kapal.

Tidak sampai 10 minit selepas kejadian itu, beribu-ribu manusia cuba menghampiri tempat kejadian menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa menghalang orang ramai ke kawasan nahas bagi mengelakkan kesukaran menyelamat serta mengganggu bukti siasatan.

Pasukan keselamatan dan pertolongan cemas bertungkus lumus membantu anak kapal dan berjaya menghampiri mangsa pertama iaitu Allahyarham Syed Hussein Wafa.

Saksi kerja menyelamat menggambarkan mayat mangsa yang terhempas begitu lembik seolah-olah 'sepasang baju' yang basah.

Pada awal pagi sebelum kejadian, Allahyarham Mohd Fuad menyertai pertandingan berjalan kaki bersama orang ramai di Kota Kinabalu. Pada jam 10 pagi, beliau ke Labuan untuk upacara perasmian kilang penapis minyak bersama Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

Mungkin ajalnya sudah tiba, beliau meminta penerbangan dipercepatkan walaupun penerbangan asal adalah pada jam 5 petang. Mohd Fuad menaiki pesawat itu bersama 10 yang lain termasuk anak kapal.

Mohd Fuad bersama anggota kabinet yang terbunuh dikatakan baru mengangkat sumpah selepas memenangi pilihan raya negeri yang diadakan antara 5 hingga 14 April 1976. Pada pilihan raya itu, parti Berjaya menewaskan Usno setelah memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tragedi itu menimbulkan banyak persoalan mengenai punca kejadian kerana ada yang menganggap masalah teknikal, ada yang menuding jari berpunca kelalaian juruterbang, wujud juga dakwaan sabotaj kerana pesawat dinaiki ramai anggota Kabinet Sabah.

Berdasarkan kenyataan Syed Abdullah yang menulis mengenai Tun Fuad: Kenangan Sepintas Lalu, menyebut bahawa juruterbang gagal menaikkan sayap pesawat untuk diselaraskan dengan tekanan minyak dan akhirnya menyebabkan kemalangan.

Pelbagai pihak memberi pandangan masing-masing tetapi teori paling menarik ialah mungkin terlebih muatan kerana pesawat Nomad hanya boleh memuatkan enam orang anak kapal termasuk penumpang tetapi jumlah kemalangan jiwa dilaporkan hampir sekali ganda.

Namun, peristiwa itu sebenarnya mengubah senario penggunaan pesawat atau helikopter yang membawa orang kenamaan (VIP). Sejak itu, kerajaan tidak menggalakkan VIP menaiki pesawat sama pada waktu serentak terutama membabitkan jumlah yang ramai.

Korban Tragedi Nahas

1. Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephens
2. Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin
3. Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun
4. Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong
5. Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion
6. Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Andu
7. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Syed Hussein Wafa
8. Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan
9. Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Kopral Mohd Said
10. Juruterbang, Gandhi J Nathan
11. Anak kepada Tun Fuad Stephens, Johari.

Pada tanggal 6 Jun 1976, kapal terbang yang membawa allahyarham cuba mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Menurut sumber yang dipercayai, kapal terbang tersebut gagal mendarat ke lapangan terbang kerana dihalang oleh pihak berkuasa yang mengarahkan pengurusan lapangan terbang bagi pesawat tersebut mendarat.

Selepas berlegar-legar di sekitar Kota Kinabalu, pesawat tersebut kehabisan petrol dan terpaksa menjunam ke arah paya di Sembulan.

Menurut maklumat yang disediakan oleh Lembaga Pelancongan Sabah, Tugu Peringatan Double Six dinyatakan sebagai satu tragedi penting dalam sejarah Sabah.

Tidak ada sebarang risalah yang disediakan oleh pihak Pusat Pelancongan Sabah bagi mendapatkan maklumat mengikut versi yang disediakan oleh kerajaan Sabah. Tiada papan tanda di mana-mana di Grace Point tersebut. Khabarnya, sebelum ini terdapat sekeping tembaga yang menceritakan sejarah mengenai tugu peringatan ini.

Siapa Tun Mohd Fuad Stephens?

Beliau menjadi Ketua Menteri Sabah Pertama pada 1963-1964. Pada waktu itu, beliau memimpin United National Kadazan Organisation (UNKO). Kemudiannya, dipilih sekali lagi sebagai Ketua Menteri Sabah kelima pada 1976 menerusi BERJAYA. 

Semasa hayatnya, beliau yang masa itu dikenali sebagai Donald Stephens menyertai North Borneo News sebagai wartawan pada 1949. Donald menyedari pentingnya sebuah akhbar yang berkaliber dan mengetuai dalam penubuhan Sabah Times.

Donald membentuk Sabah Times sehingga menjadi sebuah akhbar yang berupaya menyampaikan berita-berita sahih di Sabah dan pengaruh daripada situ, beliau menjadi ketua Menteri Sabah yang pertama semasa Sabah berjaya memperolehi kemerdekaan.

Di sinilah tragedi itu berlaku dan jika anda mengunjungi tempat ini anda akan melihat satu tugu peringatan peristiwa yang diceritakan ini.
Loading...

Related

tun fuad stephen 6234292954030156346

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item