satusabah

Calon Datuk Bandar Tawi-Tawi antara penumpang bot

KOTA KINABALU 11 April - Polis percaya dua daripada 32 suspek yang ditahan dalam sebuah bot kumpit di perairan Tambisan, Lahad Datu dekat...

KOTA KINABALU 11 April - Polis percaya dua daripada 32 suspek yang ditahan dalam sebuah bot kumpit di perairan Tambisan, Lahad Datu dekat sini Isnin lalu, merupakan calon untuk pemilihan Datuk Bandar di Kepulauan Tawi-Tawi, Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu bagaimanapun masih dijalankan dan polis masih menunggu maklum balas daripada Kedutaan Filipina untuk pengesahan.

"Saya telah menulis surat kepada Kedutaan Filipina untuk mengesahkan beberapa perkara iaitu sama ada yang membawa senjata api itu adalah pegawai keselamatan Filipina dan benar atau tidak dua yang ditahan itu akan bertanding merebut jawatan Datuk Bandar.

"Kita juga hendak sahkan sama ada betul atau sebaliknya alasan mereka kononnya bot kumpit yang dinaiki menuju ke Taganak, Filipina itu mengalami masalah teknikal hingga hanyut memasuki perairan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan derma oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Tabung Perwira Lahad Datu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan SESB, Ir. Abd. Razak Salim menyampaikan sumbangan daripada kakitangan SESB berjumlah RM27,736.85 kepada Hamza.

Menurut Hamza, kesemua suspek yang terdiri daripada 11 awak-awak dan 21 penumpang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, berdasarkan keterangan dan siasatan awal, polis mengesyorkan kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya tiada pertuduhan dibuat terhadap suspek setakat ini.

"Kita telah mengukuhkan kawalan di perairan negara dalam Ops Daulat ini. Jadi kalau dia (kumpulan 32 orang itu) masuk kita kena berhati-hati. Dia kata hendak menuju ke Taganak tetapi kenapa masuk ke negara kita," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan jurucakap kumpulan pengganas Kiram, Abraham Idjirani bahawa lebih 400 pengikut Kiram telah tiba di negeri ini, Hamza berkata, polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kemasukan itu.

Katanya, polis telah melakukan kawalan ketat di seluruh negeri ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pencerobohan.

"Kita tahu siapa dia Abraham Idrijani, kita tahu apa motif dia dan kita tahu kenapa dia membuat kenyataan itu tetapi kita tak perlu perjelaskan siapa dia," ujarnya. - Utusan
Loading...

Related

Sulu 8777431146060733182

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item