satusabah

Azmeer dipenjara kerana menyamar jadi polis

KENINGAU: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret pada Isnin lalu kerana memeras ugut...

KENINGAU: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret pada Isnin lalu kerana memeras ugut dengan menggunakan senjata tiruan sambil menyamar sebagai anggota polis.
Tertuduh Mohd Azmeer Nizam Bin Saip, 24 yang merupakan seorang penganggur mengaku bersalah di hadapan Majistret Norhamizah Binti Shaiffuddin atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Bagi tuduhan pertama tertuduh dikenakan hukuman satu tahun penjara dari 27 Mac 2014, untuk tuduhan kedua, dia dikenakan denda RM1,000 atau satu bulan penjara, manakala untuk tuduhan ketiga, dia dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan.
Mahkamah memerintahkan agar hukuman berjalan serentak.
Untuk kesalahan pertama, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pegawai Pendakwa Insp Ramona Albert berkata, pada 22 Mac 2014 sekitar jam 11.00 malam, ketika dalam perjalanan balik dengan rakannya, mangsa Salem Bin Edy, 19 warga Indonesia yang bekerja di Pasar Malam Keningau telah ditahan oleh saspek yang mengekorinya dengan motorsikal.
“Saspek memperkenalkan dirinya sebagai ‘Polis Jenayah KK’ sambil menunjukkan garinya lalu mula menggertak hendak menangkap mangsa kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
“Apabila mangsa merayu untuk dilepaskan, saspek mengarahkan mangsa untuk menyerahkan sejumlah wang kepadanya, dan oleh kerana mangsa tidak membawa wang ketika itu, saspek telah meminta nombor telefon bimbit mangsa,” jelas beliau.
Ramona berkata, siasatan lanjut mendedahkan bahawa sejak 23 Mac hingga 26 Mac 2014, tertuduh kerap menghubungi mangsa dan meminta berjumpa di kawasan Pekan Keningau atau datang sendiri ke tempat kerja mangsa di Pasar Malam Keningau.
“Dalam perjumpaan tersebut, tertuduh akan meminta mangsa membayar makan minumnya di restoran, membeli reload telefon bimbitnya, membeli rokok, membayar minuman beer dan minuman GRO di pusat hiburan karaoke selain meminta wang saku.
“Mangsa terpaksa menuruti kehendak tertuduh kerana mempercayai tertuduh adalah seorang anggota polis dan sering diperas ugut akan ditangkap serta dibawa ke Balai Polis jika ingkar.
Menurutnya lagi, dengan bantuan keluarga mangsa dan anggota polis Bit, pada 26 Mac 2014, jam lebih kurang 9.00 malam di kawasan pasar malam Keningau saspek telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan ke atas beg sandang dan badan saspek telah menjumpai sepasang gari bersama tiga anak kunci, sepucuk pistol mainan, sebuah dompet dan sebuah telefon bimbit Sony Xperia,” jelas beliau.
Ramona berkata, siasatan ke atas tertuduh mendapati dia seorang penganggur dan tidak pernah berkhidmat sebagai seorang anggota polis.
“Pertanyaan ke atas pemilikan gari mendedahkan bahawa tertuduh telah memperolehinya daripada kenalannya di Kota Kinabalu. Manakala pistol mainan telah dibelinya sendiri. Tertuduh mengakui menyamar sebagai “anggota polis KK” bertujuan untuk mencari sumber wang perbelanjaan peribadi dan berseronok.
Sumber : http://www.fmtborneoplus.com/category/nation/2014/04/16/azmeer-dipenjara-kerana-menyamar-jadi-polis/
Loading...

Related

Warga sabah 1870929317511575359

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item