satusabah

Berita Harian : Duet Siti, Marwan berjaya curi tumpuan

Skuad bola sepak Sabah yang kini bergelut untuk meraih kedudukan kelompok teratas dalam saingan Liga Perdana, mendapat suntikan semangat p...

Skuad bola sepak Sabah yang kini bergelut untuk meraih kedudukan kelompok teratas dalam saingan Liga Perdana, mendapat suntikan semangat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza. 

Siti tampil membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Amal SAFA Premier Night 2014 anjuran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Kota Kinabalu, hujung minggu lalu. Majlis terbabit dianjurkan bagi mengutip dana untuk program pembangunan bola sepak di negeri itu. 

Menyampaikan empat lagu secara solo, Siti turut menyanyikan berduet bersama Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Aman; dan Timbalan Presidennya, Datuk Lawrence Gimbang. 

Begitupun, aksi paling mencuri tumpuan ialah nyanyian secara duet dirinya bersama penyerang import Sabah berasal dari Syria, Marwan Sayedeh, menerusi lagu Kenangan Terindah yang dipopularkan oleh kumpulan Samson dari Indonesia. 

"Selepas menyanyi dengan saya, diharapkan Marwan boleh menjaringkan banyak gol," kata Siti secara berseloroh menyebabkan dewan menjadi gamat dengan gelak ketawa tetamu, terutama barisan pemain skuad Sabah yang diberi jolokan 'Sabahawks'. 

Paling Menarik Perhatian
Celoteh loghat Sabah 

Marwan fasih berbahasa Indonesia kerana pernah beraksi bersama sebuah kelab di negara jiran berkenaan sebelum berubah angin bersama Sabah. 

Walaupun sebelum ini biasa membuat persembahan di hadapan pelbagai khalayak serta peminat termasuk di pentas antarabangsa, ternyata Siti tidak kekok menyanyi serta berkomunikasi dengan pemain bola sepak. 

"Biarpun tidak begitu tahu mengenai bola sepak, tetapi Siti selalu menonton perlawanan liga tempatan bersama suami dan anak-anak," kata Siti yang sekali-sekala menggunakan loghat Sabah ketika berceloteh, membuatkan kira-kira 1,000 tetamu terhibur. 

Empat lagu solo dinyanyikannya ialah Cindai, Lebih Indah, Jika Kau Tak Datang dan lagu Inggeris, Sky Fall, yang dipopularkan oleh Adele. 

Antara artis tempatan Sabah yang membuat persembahan ialah Velvet AF4, Ridah dan Marliney. 

Sempena kunjungannya, Siti juga sempat meluangkan masa bertemu peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebaik tiba di negeri itu. 

Kali terakhir beliau berkunjung ke Sabah ialah ketika mengadakan majlis ramah mesra bersama pengguna produk kecantikan yang diusahakannya, dua tahun lalu.






Sumber  : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DuetSiti_Marwanberjayacuritumpuan/Article/index_html

Related

siti nurhaliza 3166169259028368598

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item