satusabah

Bina kemudahan infrastuktur di Jalan Kalabakan-Keningau

TAWAU: Kerajaan diminta membina atau menaiktaraf kemudahan infrastuktur khasnya klinik dan rangkaian talian telefon di Jalan Kalabakan-K...

TAWAU: Kerajaan diminta membina atau menaiktaraf kemudahan infrastuktur khasnya klinik dan rangkaian talian telefon di Jalan Kalabakan-Keningau kerana ianya kini menjadi laluan alternatif penduduk untuk ke Kota Kinabalu atau Tawau.

Presiden Persatuan Bumiputera Bajau Semporna Sabah (Perbubas), Mansor Santiri berkata orang ramai kini sudah mula cenderung menggunakan laluan tersebut berikutan tempoh jam perjalanan yang pendek berbanding laluan lama.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Klinik Kesihatan Felda Umas dinaiktaraf agar siap sedia memberi rawatan segera kepada masyarakat, khususnya mangsa-mangsa kemalangan di jalan berkenaan.

“Umum tahu, banyak kemalangan berlaku di sepanjang Jalan Kalabakan – Keningau sedangkan Hospital Tawau jaraknya amat jauh dan pusat kesihatan terdekat ialah di Klinik Kesihatan Felda Umas.

“Jika klinik itu dinaiktaraf dan ditempatkan doktor atau pegawai perubatan yang sentiasa bersiapsedia, kita yakin boleh selamatkan banyak nyawa bukan sahaja mangsa kemalangan tetapi penduduknya sendiri,” katanya.

Beliau turut meminta pihak Telekom Malaysia di bawah kementerian berkaitan supaya mewujudkan pemancar talian telefon di kawasan berkenaan demi menyelamatkan mangsa kemalangan.

Katanya, kawasan terbabit tiada talian telefon dan situasi itu amat menyukarkan mangsa-mangsa yang terlibat kemalangan kecil atau serius.

Beliau sendiri katanya, pernah mengalami kemalangan semasa menggunakan jalan tersebut baru-baru ini dan amat sukar mendapatkan bantuan berikutan tiadanya talian telefon dan kenderaan pula tidak begitu banyak.

Beliau turut memberi contoh kes kematian seorang pekerja Yayasan Sabah yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat dehidrasi semasa terlibat kemalangan tetapi hanya ditemui dua hari selepas insiden.

“Mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau, sekiranya dia dihantar ke klinik terdekat, misalnya di Felda Umas ataupun jika kawasan itu ada talian telefon, mangsa mungkin masih boleh diselamatkan lebih awal,” katanya lagi.

Mansor berkata, apabila jalan terbabit siap keseluruhan, kawasan itu diyakini bakal menjadi laluan utama keluar-masuk ke daerah ini dan kemudahan infrastuktur yang lebih baik perlu dilakukan.

Selain itu beliau turut menggesa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) supaya sentiasa melakukan rondaan di kawasan terbabit bagi memudahkan orang ramai yang mungkin berdepan masalah kenderaan ataupun terlibat kemalangan.

Sumber : http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/76905

Related

Malaysia 644016528936193671

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item