satusabah

Cubaan penculik masuk gagal

Kumpulan dari selatan Filipina itu kemudian menculik dua pelancong asing di perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan LAHAD...



Kumpulan dari selatan Filipina itu kemudian menculik dua pelancong asing di perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan

LAHAD DATU: Sekumpulan penculik dari Selatan Filipina yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Semporna terpaksa mengubah haluan ke perairan negara jiran di bahagian utara Sabah selepas gagal menembusi kawalan ketat keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ia mengakibatkan mereka bertindak melakukan jenayah penculikan di negara sendiri di kawasan perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Haji Mohammad Mentek berkata, berdasarkan maklum balas bahagian risikan, kumpulan penjenayah yang menggunakan kapal layar itu berjaya menculik dua pelancong asing di situ minggu lepas.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua anggota keselamatan di ESSZONE membabitkan 10 daerah dari Kudat hingga ke Tawau supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita memandang serius kes cubaan masuk kumpulan penculik yang terbaru melalui perairan Semporna ini. Kita tidak mahu kes penculikan di Singamata Resort, Semporna 2 April lepas berulang.

“Semua pasukan keselamatan ESSCOM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga penuh di sepanjang perairan ESSZONE,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Sementara itu, Mohammad berkata pihak berkuasa keselamatan Filipina kini menghampiri lokasi dua wanita mangsa culik di Singamata Reef Resort, Semporna disembunyikan dan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa culik itu.

Beliau berkata, kedua-dua wanita itu termasuk pelancong China berada dalam keadaan sihat. Berdasarkan maklum balas bahagian risikan, wanita China itu dibenarkan hampir setiap hari untuk membuat panggilan telefon kepada anggota keluarganya.

“Pihak keselamatan Filipina sedang menghampiri kawasan di mana mangsa culik ini disembunyikan dan sedang berusaha menyelamatkan mereka tanpa dicederakan,” katanya.

Pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, dan pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira jam 10.30 malam pada 2 April lepas.

Mohammad berkata, sepasukan pegawai ESSCOM telah dihantar ke selatan Filipina bagi mencari jalan terbaik membebaskan pelancong wanita berkenaan.

“Pegawai ESSCOM pergi ke sana hingga ke kepulauan Jolo, dan pegawai kita telah berbincang dengan bahagian risikan Filipina untuk menyelamatkan mangsa berkenaan,” katanya.

SUMBER : http://www.theborneopost.com/2014/04/29/cubaan-penculik-masuk-gagal/#ixzz30FwQ6kh8
Loading...

Related

Lahad Datu 8686476704163495668

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item