satusabah

Orang awam tidak dibenar bina rumah, bertani di kawasan Hutan Simpan

KOTA KINABALU: Orang awam tidak dibenarkan membina rumah atau bercucuk tanam di kawasan Hutan Simpan kerana ia adalah tanah milik kerajaan...

KOTA KINABALU: Orang awam tidak dibenarkan membina rumah atau bercucuk tanam di kawasan Hutan Simpan kerana ia adalah tanah milik kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Jabatan Perhutanan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati mencerobohi kawasan hutan simpan.

“Kita telah berikan amaran kepada orang awam supaya jangan memasuki kawasan Hutan Simpan kerana ia adalah milik kerajaan. “Mereka sendiri akan rugi apabila Jabatan Perhutanan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Datuk Wilfred Bumburing, pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap rakyat asing yang membina rumah di tanah kerajaan.
“Kalau mereka setinggan warga asing dan membina rumah di Hutan Simpan, kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tetapi kalau setinggan tempatan, kita menyediakan rumah tempat mereka berpindah sebelum merobohkan kediaman itu,” katanya.

Terdahulu itu ketika menjawab soalan asal Adun Sebatik Datuk Haji Abd.Muis Picho yang bertanya apa tindakan kerajaan untuk menangani isu rumah setinggan di negeri ini khususnya di Tawau, Hajiji berkata, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bekerjasama menangani masalah itu.
“Kerajaan  menyedari kewujudan rumah setinggan menimbulkan pelbagai masalah terutama masalah sosial, kesihatan, keselamatan, kebersihan dan pencemaran alam sekitar.

“Oleh itu, bagi menangani setinggan yang menetap di tanah kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Polis, Jabatan Imigresen dan Mahkamah akan mengambil tindakan untuk merobohkan rumah-rumah setinggan tersebut setelah memberi notis.

“Setinggan tempatan akan ditempatkan di rumah-rumah PPR (disewa) jika ada kekosongan. Manakala setinggan warga asing pula akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Bagi setinggan yang menetap di tanah milik persendirian pula, tuan punya tanah hendaklah mengambil tindakan sendiri untuk mengusir setinggan berkenaan,” katanya.

Hajiji berkata, sebanyak empat buah PPR (disewa) telah dibina di Tawau, PPR Balung I (972 unit), PPR Balung II (500 unit), PPR Semarak (500 unit) dan PPR Batu 8 Jalan Apas (900 unit).
“Pembinaan PPR dalam perancangan di Tanjung Batu Tawau sebanyak 500 unit dijangka akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 ini,” katanya dan menambah jumlah keseluruhan PPR yang telah dibina di daerah Tawau adalah sebanyak 2,872 unit.
Loading...

Related

Musa Aman 3207332895575623088

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item