satusabah

Pelan pembangunan bola sepak negara : PM Rasmi Akademi Bolasepak Negara di Gambang Pahang

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Bola sepak negara yang menjadi pelan nasional deng...

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Bola sepak negara yang menjadi pelan nasional dengan harapan usaha itu mendapat sokongan semua pihak termasuk sektor swasta.

"Cita-cita peribadi saya, ingin melihat Malaysia layak ke peringkat dunia dan (matlamat itu) tidak mustahil boleh menjadi kenyataan.
"Tetapi ia tidak boleh menjadi kenyataan berdasarkan impian semata-mata, sebaliknya sesuatu yang hendak dijayakan mestilah secara terancang dan berdasarkan pelan yang sistematik dan tersusun serta dibekalkan dengan sumber diperlukan.

"Sehubungan itu, apabila diangkat menjadi pelan nasional saya berharap pihak dermawan akan beri sumbangan bagi menyokong pelan pembangunan ini," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara dan perasmian Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, di sini.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan pelan berkenaan serta mengangkat martabat dan mutu sukan bola sepak di negara ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Najib, semangat dan tenaga empat kerat saja tidak mencukupi untuk menjayakan pelan ini kerana ia memerlukan perancangan menyeluruh yang mencakupi segala keperluan untuk memastikan negara berjaya dalam sukan ini.
Katanya, selain kerajaan, ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan mereka untuk menggalakkan anak-anak serta pelajar menceburi sukan ini.

"Komitmen seperti inilah yang kita perlukan jika hendak melihat prestasi bola sepak negara dapat pergi lebih jauh.

"Di sekolah jika guru tidak berminat untuk mengajar kemahiran dan hanya membiar pelajar bermain begitu saja pelan ini tidak akan menjadi kerana ia memerlukan penekanan dari segi kemahiran," katanya.

Najib berkata, sebagai seorang daripada 28 juta rakyat di negara ini yang meminati bola sepak, beliau sedar ramai yang ingin melihat pemain dan pasukan bola sepak negara ini mampu beraksi di pentas bola sepak dunia.

"Saya akui permainan bola sepak, memang permainan yang paling popular di negara ini, kalau dijadikan ukuran barangkali ia sukan pertama yang diminati diikuti badminton.

"Walaupun kita ada juara dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan (ratu skuasy negara) Datuk Nicol David, tetapi kita rasa ia belum lengkap selagi tidak melihat mutu bola sepak negara berada jauh lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, suatu ketika dulu negara pernah mengecapi kegemilangan dalam sukan bola sepak dengan menewaskan pasukan Jepun, Vietnam dan Korea Selatan, namun keadaan itu berlalu dan kini Malaysia hanya menduduki tangga ke-141 di tangga dunia di belakang negara Vietnam serta Filipina dan ia satu perkara menyedihkan.

Dalam masa yang sama beliau mahu gejala bookie (penerima taruhan) dapat dihapuskan kerana perbuatan seperti itu ibarat menjual maruah negara.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencetuskan idea penubuhan akademi bola sepak yang dinamakan sempena nama pemain bola sepak terkenal tanah air Allahyarham Mokhtar Dahari. - BERNAMA

Related

Malaysia 7101531621040013138

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item