satusabah

Tragedi MH370: Ribut petir halang pencarian

Perth: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi merosot sema...

Perth: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi merosot semalam, ekoran gangguan Taufan Tropika Jack. 

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian, berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dengan ribut petir sekali sekala sedang bergerak ke utara berserta angin timur tenggara. 

JACC berkata, usaha pencarian diteruskan memasuki hari ke-45 semalam dengan penyertaan 10 pesawat tentera dan 11 kapal. 

“Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi, yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer di barat laut Perth," katanya. 

Sementara itu dron laut dalam (AUV) Bluefin-21, mengakhiri misi lapan harinya semalam, selepas membuat pemetaan dasar laut kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang di situ. 

Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan. 

Beliau berkata, kini tiba masanya pihak yang terbabit dalam pencarian itu, mempertimbang dan membincangkan pula penggunaan kapal selam. 
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula, sekiranya tidak ada perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'. 

Bluefin-21 memulakan tugas sejak 8 April lalu, dalam usaha mencari serpihan MH370, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh penjejak kesan ping yang dikeluarkan kotak hitam, Towed Pinger Locator (TPL). 

Bluefin-21 menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut, yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam memuatkan data yang dikumpul. - BERNAMA

Related

Malaysia 8760098074766779649

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item