satusabah

Petronas Sedia Pelantar Untuk Cadangan Sistem Sea-basing Di Perairan Sabah

SANDAKAN, 20 Mei (Bernama) -- Petronas memberi komitmen bagi menyediakan pelantar berhubung cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing bagi m...


SANDAKAN, 20 Mei (Bernama) -- Petronas memberi komitmen bagi menyediakan pelantar berhubung cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negeri ini.


Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata Petronas antara yang pertama memberi komitmen kepada kerajaan berhubung cadangan pelaksanaan konsep Sea-Basing itu.

Katanya mereka menyatakan kesediaan menyediakan pelantar yang sudah ada dan masih boleh dipakai untuk ditempatkan di kawasan sempadan perairan Malaysia dan negara jiran di bawah pelaksanaan sistem berkenaan.

"Menerusi sistem Sea-Basing, pelantar tersebut akan dilengkapi dengan anggota pasukan keselamatan yang boleh bertindak cepat menggunakan aset yang canggih seperti bot pemintas dan helikopter.

"Ia bagi membolehkan masa bertindak dilakukan cepat sebaik sahaja mengesan kejadian menjejaskan keselamatan negara khususnya jenayah rentas sempadan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Khidmat Negara Bagai Budi di sini Selasa.

Pada 9 Mei lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem Sea-Basing kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

Cadangan itu dibuat berikutan insiden kes penculikan di Sabah dengan terbaharu melibatkan seorang warga China Yang Zai Lin, 34, yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat penternakan ikan, di Pulau Baik, Lahad Datu, oleh lima lelaki bersenjata pada 6 Mei.

Abdul Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat berkata pelaksanaan sistem itu merupakan usaha kerajaan memperkasakan kawalan keselamatan perairan di Sabah khususnya di pantai timur yang meliputi 1,733.7 kilometer (km) dari Kudat ke Tawau.

Katanya ia juga adalah satu tindakan penyelesaian komprhensif yang dibuat secara keseluruhan bagi memastikan kawalan keselamatan di perairan Sabah dilakukan lebih efektif.

Beliau memberi contoh insiden penculikan di Pulau Baik, lokasinya terletak tiga hingga empat jam dari perairan sempadan Malaysia dengan Filipina.

Menurutnya kejadian itu berlaku pada pukul 1 pagi tetapi pasukan keselamatan Malaysia hanya mengesan dan mengejar mereka kira-kira pukul 6 pagi berhampiran sempadan perairan Malaysia dan Filipina.

"Jika Sea-Basing ada di kawasan sempadan perairan itu, sudah tentu tindakan menghalang anggota penculik dari selatan Filipina dapat dihalang.

Rahim berkata penggunaan Pangkalan Laut Terapung merupakan antara cadangan lain Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Sabah.

Katanya kementerian itu mempunyai beberapa aset boleh dipakai untuk tujuan tersebut antaranya Kapal Bunga Emas 5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk diletakkan di perairan strategik tengah laut sebagai penempatan pusat logistik.

Menurutnya di pangkalan itu boleh ditempatkan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM serta aset bot pemintas bagi membolehkan rondaan keselamatan meliputi kawasan lebih luas.


BERNAMA-

Related

Malaysia 8359052453215047878

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item