satusabah

Negeri Sabah Menjadi Tumpuan Sarjana Seluruh Dunia Untuk Jalankan Penyelidikan

Sabah Negeri di Bawah Bayu Simpang Mengayau terletak di daerah Kudat Kedudukan geografi Borneo yang unik, kekayaan biodiversiti dan ...

Sabah Negeri di Bawah Bayu

Negeri Sabah
Simpang Mengayau terletak di daerah Kudat
Kedudukan geografi Borneo yang unik, kekayaan biodiversiti dan budaya menarik minat sarjana dari seluruh dunia untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang di pulau itu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, bukan sahaja terletak di tengah-tengah Asia Tenggara dan meliputi negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam tetapi juga mempunyai hutan hujan asli dan hutan pergunungan yang terakhir di dunia.

“Di Sabah, ada Lembangan Maliau dan Ngarai Imbak yang terkenal sebagai kawasan pemuliharaan bertaraf dunia serta Banjaran Crocker dan Taman Kinabalu. Hutan ini menjadi habitat bagi kebanyakan spesies tumbuhan dan haiwan termasuk burung, reptilia, ikan dan mamalia yang jarang ditemui seperti beruang madu, badak Sumatera, gajah pygmi, Orang Utan dan monyet Proboscis,” kata beliau.

Musa berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Persidangan Antarabangsa ke-12 Majlis Penyelidikan Borneo di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Kursi Kadazandusun dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah.

Musa berkata dalam konteks sejarah, hutan di Borneo menjadi sumber ubat-ubatan bagi kebanyakan suku kaum di kawasan persekitaran hinggalah ke China dan mungkin menjadi penawar bagi kebanyakan penyakit selain berfungsi mengekalkan kehijauan di pulau itu.

Beliau berkata laut yang mengelilingi pulau itu juga kaya dengan pelbagai spesies hidupan marin, sesetengah hanya terdapat di bahagian dunia sebelah sini manakala lautnya masih tidak tercemar walaupun beberapa lautan di dunia dicemari sisa dan bahan kimia.

Musa berkata laut yang tidak tercemar itu menjadi habitat selamat bagi hidupan laut dan memberi manfaat kepada masyarakat yang secara tradisi bergantung kepada laut untuk sumber makanan.

“Pulau ini juga menjadi titik migrasi dengan penyelidikan arkeologi dan linguistik menunjukkan nenek moyang bangsa Austronesia di Sabah terdiri daripada suku kaum Dusun, Murut dan Paitanik bertapak di sini sekurang-kurangnya 6,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, penyelidikan genetik yang dijalankan membayangkan bahawa bangsa Austronesia mungkin telah hidup di kepulauan Borneo utara sehingga 20,000 tahun yang silam, kata beliau.

Menurut Musa, penyelidikan genetik di Borneo memberi petunjuk yang jelas terhadap isu-isu perubatan berkaitan talasemia kerana orang dewasa yang mempunyai gen penyebab talasemia adalah tahan daripada serangan malaria selain menunjukkan bahawa apabila berlaku malaria, talasemia juga dikesan pada sebahagian besar penduduk.

“Borneo mempunyai kepelbagaian dan dinamik, dan ia adalah contoh bagi dunia. Bagi kebanyakan kami di sini, ia adalah tanah air kami, sama ada dilahirkan di sini atau pilihan sendiri. Saya percaya masyarakat Borneo menyimpan banyak perkara untuk dunia mengenai persamaan jantina, hak kanak-kanak dan yang penting, rasa hormat dan perdamaian di kalangan penduduk.

“Saya berharap perbincangan penyelidik pada persidangan ini akan mewujudkan pemahaman yang lebih baik mengenai Borneo dan masalah serta isu yang dihadapi dalam dunia masa kini,” kata Musa.
Loading...

Related

Musa Aman 4273521696034937351

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item