satusabah

2,500 Merentasi BORNEO Berjalan untuk Projek Kemanusiaan

2,500 Merentasi BORNEO Berjalan untuk Projek Kemanusiaan KOTA KINABALU: Anak muda berasal dari Norfolk England, David Atthowe, 25, dan...

PORTAL SATUSABAH
2,500 Merentasi BORNEO Berjalan untuk Projek Kemanusiaan
KOTA KINABALU: Anak muda berasal dari Norfolk England, David Atthowe, 25, dan Yusep Sukmana, 24, dari Indonesia sudah memulakan penjelajahan berjalan kaki sejauh 2,500 kilometer (km) merentasi Borneo.

David yang juga pengasas Nomadic Lion berkata, mereka melakukan misi itu dengan untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai alam sekitar selain projek kemanusiaan.

Menurutnya, perjalanan di Borneo bermula di Tawau pada 22 Ogos lalu dan mereka telah merentasi Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau serta mendaki Gunung Kinabalu.

“Perjalanan sejauh 780km ini mengambil masa kira-kira 47 hari, dan dari Kota Kinabalu kami akan meneruskan perjalanan ke Brunei dan Sarawak.

“Penjelajahan ini akan diteruskan sehingga ke Kuching,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Lembaga Pelancongan Sabah Tourism kelmarin.

David berkata, perjalanan merentasi Borneo dijangka akan tamat di Kuching pada Februari tahun depan.

Sepanjang penjelajahan di Sabah, kedua-dua anak muda itu telah melawat beberapa projek konservasi, pendidikan, kemasyarakatan, taman negara serta bertemu dengan individu yang bekerja keras untuk membantu masyarakat serta alam sekitar di Borneo.

Ia termasuk ‘Sabah Society for underprivileged children’ (PKPKM), ‘Sabah Society for the Deaf’, Danum Valley, Pusat Konservasi Sun Bear (BSBCC) dan Mescot Community.

“Kami amat menyukai Sabah, ia sangat hebat, masyarakat di sini begitu peramah dan kami dapat mempelajari pelbagai budaya serta bahasa antaranya bahasa Dusun,” kata David yang melakukan pengembaraan sejak berumur 17 tahun.

Ditanya sebab memilih Borneo, David berkata mereka memilihnya kerana Borneo memiliki hutan hujan tropika yang tertua di dunia selain sumbernya yang berharga serta kepelbagaian suku kaum dan budaya.

Katanya, sepanjang perjalanan itu mereka juga bertemu ramai orang tempatan yang begitu ramah serta banyak membantu.

“Ini adalah projek kedua Nomadic Lion selepas kami menjayakan misi berjalan kaki sejauh 1,100km pada Februari lalu di Semenanjung Malaysia.

“Ramai yang mengatakan kami berdua gila namun kami gembira mempelajari budaya di negara ini dan berkongsi pengalaman positif bersama orang-orang di sini,” katanya.

Menurut David, pengembaraan mereka juga didokumentasi yang menumpukan projek persekitaran dan kemanusiaan positif seperti yang dilakukan ketika aktiviti bersama ‘Sabah Society for the Deaf’ di Lahad Datu.

Beliau berkata, semakin ramai yang ingin mengetahui perkembangan mereka dan ia boleh didapati di laman Facebook dan juga www.nomadiclion.com.

Sementara itu, Yusep yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Bandung menyifatkan perjalanan itu sebagai satu proses pembelajaran.

“Menerusi jelajah ini, saya dapat mempelajari pelbagai perkara termasuk budaya, sejarah dan juga muzik.

“Saya amat menyukai muzik dan sentiasa membawa ukulele bersama sepanjang pengembaraan ini untuk mempelajari muzik di sini,” katanya.

Sepanjang projek penjelajahan itu, kedua-dua anak muda ini juga membawa bebanan seberat 20 kilogram yang merangkumi keperluan harian.

Kedua-dua mereka juga ditaja oleh United Sikh, Goldheart Project, Gerakan Sikh, Leap Spiral, PACOS, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan juga Transglobe Expendition Trust, Water- to-go dan Naturya daripada United Kingdom bagi menjayakan misi itu.

UTUSAN BORNEO

Loading...

Related

Telupid 6736846806155089673

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item