satusabah

BERITA SARAWAK : ADENAN SATEM DIUGUT BUNUH

Berikutan kenyataan dikeluarkan dua pemilik akaun Facebook yang berbaur penghinaan dan ugutan terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sr...

Berikutan kenyataan dikeluarkan dua pemilik akaun Facebook yang berbaur penghinaan dan ugutan terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong tampil dan membuat laporan polis semalam.

Ketua Pemuda PBB Meradong Helmi Morsili berkata kenyataan berbaur penghinaan dan ugutan terhadap Ketua Menteri itu ditemui pihaknya menerusi laman sosial Facebook milik dua lelaki menggelar diri mereka Beng Kor dan Chopz Suey.

“Kenyataan tersebut kami temui pada 26 Oktober lalu.

“Kenyataan ditulis Beng Kor dalam laman sesawang itu ternyata menghina Adenan sebagai Ketua Menteri.

“Manakala kenyataan Chopz Suey pula mengundungi unsur ugutan bunuh terhadap pemimpin berkenaan.

“Kami tidak boleh menerima kenyataan individu ini,” katanya di sini semalam.

Helmi berkata, tindakan tegas perlu dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak terbabit dan individu lain supaya perkara yang boleh menggugat keharmonian negeri tidak berulang.

“Saya mewakili seluruh kepimpinan Pemuda Meradong ingin merujuk kepada apa yang saya lihat dalam laman sosial terbabit.

Ia jelas mempunyai unsur yang amat tidak rasional.

“Kenyataan itu amat berbahaya dan boleh menimbulkan huru-hara selain menanam rasa kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Sementara Ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Bintulu membuat aduan di Pusat Sehenti Balai Polis Bintulu berhubung kenyataan yang sama dalam akaun Facebook dua individu terbabit.

Penolong Setiausaha SABERKAS Cawangan Jepak Ismawi Ishak berkata beliau ketika itu sedang melayari laman Facebook dan terlihat artikel seorang individu dikenali Beng Kor atau nama sebenarnya Yeu Beng Keng, yang menyifatkan kepimpinan Adenan lemah dan Ketua Menteri boneka semata-mata.

“Kenyataan itu amat mengguris perasaan hati rakyat negeri ini kerana sebagai rakyat yang cintakan keamanan serta keharmonian adalah perlu setiap rakyat menghormati pemimpin yang menerajui negeri ini,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, apa yang menyedihkan terdapat salah seorang pemilik akaun Facebook bernama Chopz Suey mengeluarkan kenyataan kesat dengan ugutan bunuh terhadap Ketua Menteri dalam kumpulan Facebook ‘Sarawak Pansut ari Malaysia’.

Jelasnya, kata-kata kesat itu bukan sahaja tidak beretika dan menyalahi undang-undang, namun turut diklasifikasikan sebagai ancaman jenayah yang harus dipandang berat oleh pihak penguat kuasa undang-undang di negeri ini.

“Kami (SABERKAS Bintulu) berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang mengeluarkan kata-kata kesat berbentuk ancaman dan tidak menghormati sistem demokrasi di negara ini,” ujar beliau.

Beliau berharap individu terbabit diambil tindakan undang-undang supaya tidak menjadi ancaman lebih besar pada masa depan demi keharmonian serta perpaduan penduduk berbilang kaum dan latar belakang di negeri ini.
Loading...

Related

Sarawak 6999057692782704690

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item