satusabah

Jika Berjaya dapat 20% dari Petronas, Sarawak akan Turunkan Tarif Air dan elektrik - Adenan Satem

Jika Kerajaan Negeri Sarawak berjaya mendapatkan royalti 20 peratus daripada Petronas dan menggunakannya untuk memajukan lagi negeri ini, ...

Jika Kerajaan Negeri Sarawak berjaya mendapatkan royalti 20 peratus daripada Petronas dan menggunakannya untuk memajukan lagi negeri ini, maka Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berjanji akan menurunkan tarif elektrik dan air.

PORTAL SATU SABAH
Jika Berjaya dapat 20% Royalti dari PETRONAS, Sarawak akan Turunkan Tarif Air dan Elektrik - Adenan Satem
Beliau berkata Sarawak mampu melakukannya (menurunkan tarif) kerana royalti minyak 20 peratus tersebut boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan negeri ini termasuk membina empangan hidroelektrik yang mampu menjana bekalan elektrik yang mencukupi bagi keperluan seluruh rakyat di negeri ini.

“Sudah lama kita tengok sahaja orang mengambil hasil kekayaan Sarawak dan hari ini kita mahu mengambil bahagian dan turut serta dalam industri (minyak dan gas),” katanya.

Menurut Adenan dengan hasil royalti tersebut, bukan sahaja kemudahan keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air yang dibangunkan, malah rangkaian komunikasi terutama jalan raya dapat dipertingkatkan sehingga sama taraf, malah lebih baik daripada yang ada di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai Ketua Menteri Sarawak, saya mahu membangunkan negeri ini dengan lebih baik dan lebih maju daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Kalau mereka di sana (Semenanjung) dapat, kenapa kita tidak dapat,” katanya.

Kata-kata bersemangat beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat, anjuran Persekutuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Menurut Adenan lagi, jika bekas Ketua Menteri sebelum ini yang juga Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengamalkan politik pembangunan untuk memajukan negeri ini lebih 30 tahun lalu, maka beliau pula akan menekan dasar pembangunan di luar bandar.

Katanya dengan lebih 5,000 kampung yang terdapat di seluruh negeri dan keluasan Sarawak yang menyamai Semenanjung Malaysia, beliau berjanji akan menumpukan pembangunan dan menaik taraf kemudahan serta keperluan di luar bandar, hingga menjadi lebih baik daripada di Semenanjung Malaysia.

“Saya rasa sudah sampai masanya, kita berhenti membantu orang-orang kaya tetapi membantu orang miskin.

“Sudah sampai masanya bagi kita menghentikan orang-orang kaya ini menyerap kekayaan dari negeri Sarawak tetapi menyalurkannya untuk membangunkan luar bandar. Ini adalah masa untuk polisi pembangunan luar bandar,” tambahnya.

Sehubungan itu Adenan meminta penduduk luar bandar supaya lebih berani dan lantang meminta pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka dan jangan takut untuk menyuarakannya.

Beliau mengambil contoh cadangan projek pembinaan Empangan Baram yang mendapat tentangan hanya daripada segelintir kecil masyarakatnya dan dengan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari luar negara yang melakukan halangan-halangan serta menghasut penduduk kampung untuk menentang kerajaan.

“Sedangkan hakikatnya, majoriti penduduk Baram mahukan pembangunan dan pembinaan empangan tersebut dilaksanakan.

“Jadi masyarakat Orang Ulu perlu bangkit dan menyuarakan keinginan dan kemahuan mereka itu dan jangan berdiam diri,” tegasnya.

Pada masa yang sama Adenan merayu kepada masyarakat Orang Ulu supaya berhenti menaruh syak wasangka kepada kerajaan dengan menegaskan bahawa kerajaan tidak ada niat untuk memecah-belahkan masyarakat Orang Ulu atau mempunyai agenda tersembunyi dalam projek pembinaan empangan tersebut.

Sebaliknya beliau menekankan projek pembinaan tersebut dicadangkan untuk membangunkan kawasan Baram dan memajukan masyarakat Orang Ulu sendiri.

Sementara itu majlis makan malam tersebut adalah julung kalinya dianjurkan oleh FORUM untuk Adenan, selepas beliau menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak yang kelima.

Turut hadir isteri beliau, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Senator Datuk Lihan Jok, Presiden FORUM Gerawat Gala dan pengerusi penganjur merangkap ADUN Telang Usan Dennis Ngau serta wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat Orang Ulu di negeri ini. UTUSAN BORNEO


Loading...

Related

Sarawak 8510245810872101077

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item