satusabah

BERITA SARAWAK : INSPEKTOR RAYMOND DIBURU

SIBU: Polis di sini sedang menjejaki seorang lelaki dikenali sebagai ‘Inspektor Raymond’ berkaitan penangkapan tiga lelaki yang mendakwa m...

SIBU: Polis di sini sedang menjejaki seorang lelaki dikenali sebagai ‘Inspektor Raymond’ berkaitan penangkapan tiga lelaki yang mendakwa menerima arahan menjalani latihan sekatan jalan di Jalan Kemuyang awal pagi semalam.

Lelaki dikenali sebagai Inspektor Raymond dipercayai menyamar pegawai polis yang mempunyai pengaruh dengan pegawai atasan dan mendakwa boleh membantu sesiapa sahaja menjadi polis melalui ‘pintu belakang.’

Dalam kejadian pada jam 6 pagi semalam, orang awam terkejut apabila mendapati tiga lelaki berbaju preman manakala salah seorang memakai ves polis mengadakan sekatan jalan pada waktu yang disifatkan sebagai terlalu awal.

Curiga dengan kemunculan polis yang mengadakan sekatan jalan pada waktu tidak sepatutnya, orang awam memaklumkan kepada polis.

Bertindak maklumat itu, sepasukan polis Balai Polis Sibu Jaya pergi ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang sekatan jalan sebaik tiba di situ.

Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Suhaimi Mohamad ketika ditemui memberitahu, polis membuat pemantauan sekitar kawasan berdekatan mencari petunjuk dan menemui tiga lelaki berbaju preman di sebuah kedai kopi di Permai.

Menurutnya, polis menemui sepasang ves polis yang diletak di sebuah motosikal di situ.

Katanya, siasatan awal polis mendapati tiga lelaki itu mendakwa mendapat arahan lelaki bernama Inspektor Raymond supaya menjalani latihan sekatan jalan, latihan kawad dan rondaan mengguna motosikal masing-masing pada waktu malam.

Katanya, ketiga-tiga suspek mendakwa mendapat tawaran menjadi anggota polis oleh Inspektor Raymond pada Ahad lepas.

“Mereka mendakwa mengisi borang permohonan menjadi polis di bahagian Siasatan Jenayah (CID). Selepas itu, mereka mendapat arahan ‘Inspektor Raymond’ mengadakan sekatan jalan di Jalan Kemuyang pagi (semalam),” katanya.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 18 dan 20 tahun itu telah ditahan di Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut.

Suhaimi meminta kerjasama orang awam yang pernah ditahan semasa sekatan jalan oleh kumpulan itu di Jalan Kemunyang atau di kawasan lain supaya tampil memberi maklumat.

Orang ramai dinasihat untuk menghubungi talian Balai Polis Sentral menerusi talian 084-336144.


Loading...

Related

jenayah polis 8144292620028791478

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item