satusabah

PBT Dikerah Pastikan Papan Tanda Menggunakan Bahasa Kebangsaan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda di tempat awam bagi memastikan Sabah ...

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda di tempat awam bagi memastikan Sabah muncul sebagai negeri yang memancarkan citra budaya bangsa.

Portal SatuSabah
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, berkata penggunaan bahasa, baik pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan, mahupun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan bahawa kita seolah-olah berada di Hong Kong, di Miami, ataupun di Hawai.

“Saya berharap Sabah bakal muncul sebagai negeri yang secara nyata memancarkan citra budaya bangsa, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada di PBT masing-masing.

“Ini semua adalah untuk mempamerkan bahawa Negeri Sabah pembawa citra bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan Seminar Pemartabatan Bahasa Kebangsaan yang bertemakan “Cabaran Bahasa Melayu dalam Penggunaan Bahasa Melayu,” di Hotel Tabung Haji, kelmarin.

Hajiji juga menyeru semua pihak untuk terus menanam tekad, membulatkan azam untuk memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar senantiasa memperteguh azam untuk terus mempertingkat kemahiran berbahasa Melayu, mengapresiasi nilai-nilai seni, keindahan dan murni yang terungkap dalam sastera kita, sekaligus memperbanyak penerbitan dalam bahasa Melayu demi memanifestasikan kecintaan kita terhadap bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan kerajaan pusat, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), untuk bersama-sama membina negara bangsa Malaysia melalui pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Sementara itu, dalam sidang media, Hajiji berkata, PBT sememangnya telah menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di premis-premis perniagaan dan tempat awam, namun tidak dinafikan masih lagi ada bahasa-bahasa lain yang digunakan sehingga berlakunya kecelaruan bahasa.

“Ini saya minta PBT untuk periksa dan meminta pihak berkenaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan tepat…. Perkara ini akan sentiasa di pantau dari masa ke semasa supaya semuanya dapat menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, PBT hanya akan mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada pihak yang memohon menggunakan suatu nama yang mempunyai makna tertentu sekiranya alasan yang diberikan rasional.

“Kita akan pastikan martabat bahasa kebangsaan akan berada di tempat yang sepatutnya. Ini adalah bahasa kita,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah DBP cawangan Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain.

Loading...

Related

Sabah 8077677411852462924

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item