satusabah

SABAH KINI JAUH LEBIH SELAMAT -Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR:– Keadaan di Sabah, terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kini lebih selamat berbanding setahun lepas, kat...

Portal Berita Sabah
KUALA LUMPUR:– Keadaan di Sabah, terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kini lebih selamat berbanding setahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kementerian dengan kerjasama pentadbiran Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan kerajaan Sabah mengambil pelbagai langkah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

“Saya bersetuju dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, (sekiranya) enam bulan atau setahun lalu.

Keadaan jauh berbeza sekarang kerana ESSComm diketuai seorang pegawai kanan polis dan saya, selaku menteri, telah gazetkan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Korporat sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ahmad Zahid berkata keadaan di Esszone kini bertambah selamat dan pelancong asing, terutamanya dari China, semakin ramai mengunjungi Sabah dan lebih yakin dengan pentadbiran ESSComm.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri di Dewan Rakyat bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan enggan mengambil risiko mempromosi Sabah selagi kes penculikkan melibatkan pelancong asing di Negeri di Bawah Bayu itu belum selesai.

Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid berterima kasih kepada Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang bekerjasama dengan pentadbiran ESSComm untuk terus promosikan kawasan pelancongan di ESSZone.

Menyentuh desakan pelbagai pihak agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan, Ahmad Zahid berkata mereka tidak perlu khuatir kerana Akta Keharmonian Nasional yang dicadang bagi menggantikannya adalah satu transformasi politik kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk melaksanakannya.

“Datuk Seri Najib telah beri jaminan bahawa perkara-perkara sensitif yang termaktub dalam Akta Hasutan akan terus dipertahankan terutama mengenai kedudukan agama Islam, Raja-raja, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu.

“Ertinya walaupun Akta Hasutan mungkin dihapuskan tetapi rohnya bagi menjaga keharmonian pelbagai kaum tetap ada dan saya yakin hal berkenaan dikekalkan,” katanya.

Berhubung cadangan seorang perwakilan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 supaya satu sayap baharu iaitu sayap mahasiswa diwujudkan Umno, Naib Presiden itu tidak menolak ia boleh dipertimbangkan.

“Namun ia harus diperincikan. Secara peribadi cadangan itu adalah manifestasi keterlibatan dan komitmen Gen X dan Y dalam Umno dan tentunya ia boleh dikembangkan,” katanya. — BERNAMA


Loading...

Related

Sabah 2500001887514159471

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item