satusabah

Kerajaan Sabah Tumpu Penahanan dan Penghantaran PATI serta Bendung Kemasukan Mereka - CM

Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin di samping membendung kemasukan warga ...

Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin di samping membendung kemasukan warga asing secara haram.

PORTAL BERITA SATU SABAH
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menegaskan ia adalah sebahagian daripada langkah drastik yang akan diambil untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang sejak sekian lama menghantui penduduk di Sabah.

“Bagi fokus pertama (penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin), kami meneliti butiran beberapa aspek yang perlu ditambah baik dalam operasi sedia ada oleh agensi berkaitan.

“Kami bersetuju untuk memperkenalkan semula secara segera operasi bersepadu dan saya telahpun mengarahkan persediaan praoperasi dilakukan secepat mungkin untuk memperkukuhkan operasi yang akan dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu Kenyataan itu dikeluarkan selepas Musa mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan keselamatan di Sabah hari ini iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Menteri berkata fokus pertama akan turut merangkumi peningkatan keupayaan Pusat Tahanan Sementara yang pada masa ini boleh menempatkan 5,000 orang pada satu-satu masa.

Beliau menjelaskan lokasi sesuai dan bangunan yang boleh diubah suai serta diwartakan sebagai Pusat Tahanan Sementara telahpun dicadang bagi memastikan keupayaan untuk menahan dapat dipertingkatkan tanpa sebarang kelewatan yang lazimnya berlaku ketika pembinaan pusat baharu.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menyemak dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin, yang turut merangkumi aspek seperti reman, siasatan, dokumentasi dan jadual penghantaran pulang.

“Sungguhpun SOP sedia ada sudah ditambah baik daripada purata enam bulan hingga dua bulan, tempoh ini masih dilihat agak lama dan memerlukan kos operasi yang tinggi dari segi penyediaan makanan kepada tahanan, penyelenggaraan dan keselamatan.

“Penambahbaikan SOP ini akan memerlukan rundingan dan kerjasama daripada negara asal memandangkan komitmen diperlukan daripada negara berkenaan dalam usaha mengurangkan masa yang diambil untuk menghantar pulang tahanan,” katanya.

Dalam hubungan ini, Musa berkata Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri ditubuhkan untuk membuat susulan terhadap dua tindakan yang akan dilaksanakan dan untuk mengetuai pelaksanaan operasi bersepadu itu.

Beliau turut menggesa semua pihak terutamanya majikan dalam memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, manakala pemimpin masyarakat, ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung pula diarah supaya memberi kerjasama kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.

Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mereka yang melindungi pendatang tanpa izin.

Bagi fokus kedua (membendung kemasukan warga asing secara haram), Musa berkata kerajaan bersetuju untuk memperluaskan strategi sedia ada dalam menguatkuasakan perintah berkurung di ESSZone, yang akan diperkukuhkan lagi dengan cadangan melaksanakan strategi baharu untuk mewartakan pulau yang digunakan oleh pendatang tanpa izin dan penjenayah sebagai Kawasan Larangan.

“Strategi ini penting kerana pulau dalam perairan ESSZone adalah antara lokasi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, penculikan dan penyembunyian pendatang tanpa izin sebelum mereka memasuki Sabah,” katanya, dan menambah terdapat lebih 360 pulau dalam ESSZone dan 83 daripada pulau itu terletak di Semporna.

secara prinsip, Musa berkata pelaksanaan untuk mewartakan pulau yang disasarkan itu sebagai Kawasan Larangan bergantung kepada kajian yang akan dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bertindak.

“Sama dengan strategi perintah berkurung, kami yakin strategi Kawasan Larangan akan mewujudkan kesan ketara dalam agenda kami untuk membendung kemasukan pendatang tanpa izin.

“Ini sebaliknya akan membantu kerajaan negeri dalam mengatasi masalah pendatang tanpa izin yang menjadi fokus utama kami pada masa depan,” katanya.—BERNAMA


Loading...

Related

Sabah 6182296314601951067

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item