satusabah

MAHKAMAH KOTA KINABALU : Terkini Perbicaaran Kematian Anggota TLDM, Asrup Raidin

Abang kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mati ketika ditugaskan di Stesen Uniform TLDM di Pulau Terumbu Ubi, Labuan lebih setahun lalu, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini beliau dimaklumkan adiknya menjerit meminta tolong agar tertuduh tidak pasakkannya di dalam air.

Amran Raidin, 40, berkata seorang rakan mangsa, yang ditemuinya pada hari pengebumian adiknya, memberitahu tertuduh Muhammad Zahiruddin Nordin, 26; Mohd Hood Mad Hasib, 26; dan Muhammad Faidhi Zaini, 25, ada bersama-sama adiknya ketika mangsa dikatakan dibawa berenang di laut oleh tiga tertuduh.

"Dia (rakan mangsa) cakap dia nampak dengan mata dia sendiri mereka (tertuduh) menekan arwah adik dalam air. Mereka pasakkannya sampai arwah adik menjerit 'Allahu Akbar. Tolong tuan, tolong tuan. Saya tidak tahan'.

"Dia (rakan mangsa) cakap mereka ketawa lagi. Saya pun geleng kepala," katanya dalam nada sebak.

Amran, yang merupakan bekas anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM, berkata pada 5 Dis 2013 iaitu dua hari selepas kematian adiknya Asrup, 27, beliau membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Keningau mengenai kejadian yang menimpa adiknya.

"Kami (sekeluarga) mahu mereka yang menganiaya arwah adik saya menerima hukuman sama seperti adik saya kena," tambahnya.

Saksi ketiga itu berkata sepanjang perkhidmatannya selama 16 tahun sebagai anggota Paskal, beliau pernah ditempatkan untuk menjalankan operasi TLDM di Stesen Uniform sebanyak enam kali.

Muhammad Zahiruddin dari Kajang, Selangor; Mohd Hood dari Kulai, Johor; dan Muhammad Faidhi dari Melaka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan jika didapati bersalah menyebabkan kematian Asrup yang berasal dari Tenom.

Ketiga-tiga tertuduh, yang diwakili peguam Ram Singh, didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Uniform TLDM, Pulau Terumbu Ubi di Labuan kira-kira pukul 7.36 malam, 3 Dis, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad itu, yang ditetapkan berlangsung selama tiga hari bermula 4 Mac lepas, akan bersambung empat hari lagi bermula 27 April depan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris dan Aida Jaafar Mad Ariff, menyenaraikan 25 saksi dalam kes ini. -BERNAMA

SESUAI UNTUK ORANG DEWASA
Loading...

Related

Sabah 4807378385375430729

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item