satusabah

Kes Bunuh Mandur Di Lahad Datu, Lima Lelaki Diburu Polis


Polis Lahad Datu sedang giat mengesan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang mandur di Ladang Permai, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah ini, ACP. Hamzah Ahmad dalam sidang media di IPD Lahad Datu semalam berkata, kelima-lima suspek itu dikenali sebagai Al Hakim Nasir, 20, Herman Nasir, 18, Nasir Mazdar, 40, Mohd Azali, 23, dan Sidik Gapar, 25.

Katanya, kesemua mereka itu sangat dikehendaki kerana dipercayai dapat membantu sisatan polis berhubung kematian seorang mandur ladang dikenali sebagai Raden Ahmad,35, yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada hari kejadian oleh salah seorang pekerja ladang berkenaan sebelum memaklumkan kepada majikan pada kira-kira jam 8.15 pagi.

Menurut Hamzah, mangsa yang mengalami cedera parah akibat kesan tikaman sebanyak enam kali di bahagian belakang badan dan satu kesan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah diserang seramai lima orang individu yang juga merupakan pekerja ladang berkenaan sebelum kesemua suspek bertindak melarikan diri.

“Kita juga turut menjumpai dan merampas sebilah besi leper dan sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dipercayai senjata yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya sambil menambah pihaknya percaya kes itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham yang tercetus antara mangsa dan kelima-lima suspek.

Hamzah memberitahu, sehingga kini, usaha bagi mengesan kelima-lima suspek masih diteruskan dan pihaknya percaya kesemua mereka masih lagi berada dalam daerah ini.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kelima-lima suspek terbabit agar dapat tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Lahad Datu di talian 089-881255 bagi membantu siasatan,”katanya.

Dalam pada itu, pada sidang media tersebut Hamzah turut mengedarkan gambar empat daripada lima lelaki yang dikehendaki itu.

“Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya.
Loading...

Related

Lahad Datu 8355484039052379240

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item