satusabah

Kereta Terbabas, Kerani Maut

Seorang kerani kewangan yang baru melangsungkan perkahwinan kedua, maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam gaung di Kilometer 67, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Mohd. Zubir Mohd. Husin, 45, yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bawah tebing yang curam.

Kereta mangsa kemudian terbalik ke dalam gaung de­ngan kedalaman empat meter.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Rahmat Othman ber­ka­­ta, kereta mang­sa datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mer­sing dan kemalangan disedari orang awam yang terlihat kenderaan dalam gaung itu.

“Kereta itu ditemukan pukul 10.40 pagi dan peman­dunya sudah meninggal dunia dalam kenderaan. Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kilang Sawit Tenggaroh Timur di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Rahmat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Malaysia difahamkan sejak melangsungkan majlis perkahwinan dengan isteri keduanya, Roslina Muhammad, 45, pada 23 Januari lalu di Felda Air Tawar 3, mangsa sering berulang-alik dari Senai ke tempat kerjanya itu.

Sementara itu, jiran mangsa, Junainah Mohd. Sidek, 51, berkata, isteri pertama mangsa, Sarimah Abdullah, 49, tinggal di Terengganu bersama empat anak mereka iaitu dua masih bersekolah manakala dua lagi sedang menuntut di universiti awam.

Menurut Junai­nah, isteri pertama mangsa dimaklum­kan mengenai kejadian tersebut pukul 8.45 pagi.

Katanya, sebelum kemalangan, Sarimah ada menyatakan rasa tidak sedap hati kepada dia.

“Saya dan Sarimah agak rapat kerana di Felda Tenggaroh duduk berjiran sebelum Sarimah berpindah ke Terengganu untuk tinggal bersama keluarganya sejak sebulan lalu.

“Sarimah mengadu sejak beberapa hari ini dia sering mimpikan tentang ibu dan bapa mentuanya yang sudah meninggal dunia. 
 
Tidak sangka pula rasa tidak sedap ha­tinya itu membawa petanda bahawa suaminya terlibat kemalangan maut,” katanya.
Loading...

Related

Malaysia 4734805606078687016

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item