satusabah

Di Abad Ini, Sukan Bukan Sekadar Riadah

Sukan merupakan wadah penting yang berupaya memupuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, selain dijadikan sebagai kerjaya, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata ahli sukan di setiap negara, khususnya Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam wajar dicontohi atas kejayaan yang mereka kecapi atas jati diri yang kuat dan tebal hasil daripada pembabitan mereka dalam bidang sukan.

"Sesungguhnya inilah usaha kita untuk memartabatkan bidang sukan ke persada antarabangsa dan mampu melahirkan jaguh sukan yang berjati diri dan bermotivasi (tinggi)," katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Persahabatan Staf Institut Pengajian Tinggi Borneo 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) malam tadi.

Justeru Tawfiq menyarankan agar semua ahli sukan bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

"Sukan di abad ini bukan sahaja dianggap sebagai riadah dan aktiviti sampingan. Ia telah dijadikan salah satu kerjaya dalam kehidupan masyarakat. Jika kita lihat negara membangun seperti Korea dan Jepun, mereka menjadikan sukan sebagai salah satu plafform untuk berjaya dalam hidup dan menjadi jutawan," katanya.

Sebanyak 15 institut pengajian tinggi dari Malaysia, Kalimantan, Indonesia dan Brunei Darussalam menyertai kejohanan yang menawarkan 13 acara termasuk badminton, bola sepak dan bola jaring.

Dari aspek perpaduan pula, Tawfiq berkata salah satu faktor sesebuah negara dikenali di persada antarabangsa adalah disebabkan perpaduan yang dikecapi di negara berkenaan dan perpaduan sedemikian boleh dipupuk melalui sukan.

Katanya melalui temasya sukan pelbagai kaum yang berbeza latar belakang akan dipertemukan dan bergaul semasa atlet dalam kalangan kontinjen untuk memahami budaya dan cara hidup masing-masing.

Sementara itu Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr Ismail Ali berharap kejohanan yang diadakan empat tahun sekali itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada UMS untuk menganjurkan kejohanan itu pada kali ini.

Universiti Tanjung Pura di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, Indonesia dijangka menjadi tuan rumah bagi kejohanan berkenaan pada siri akan datang.

- Bernama
Loading...

Related

Tawfiq Abu Bakar Titingan 644905429938142974

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item