satusabah

Kontraktor Pan Borneo disaran guna simen Sabah


KOTA KINABALU - Syarikat yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, disaran mendapatkan bekalan simen keluaran negeri ini bagi melaksanakan kerja pembinaan yang memerlukan bahan binaan itu.

Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong), berkata langkah itu dapat memberi pulangan ekonomi kepada negeri ini, selain menjadi kebanggaan rakyat kerana produk simen keluaran Sabah digunakan sepenuhnya untuk pembinaan lebuh raya itu.

"Saya berharap kerajaan dapat memberi peluang dan membantu supaya kontraktor yang dapat kerja pembinaan lebuh raya ini menggunakan simen Cap Gajah dari Sabah yang dikeluarkan syarikat Cement Industrial Sabah Sdn Bhd (CIS). 

"Saranan ini bagi kerja pembinaan jalan menggunakan konkrit dan secara tidak langsung, ia memberi pulangan ekonomi daripada hasil jualan simen kepada negeri," katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), di sini, sebentar tadi. 

Samsudin yang juga Pengerusi CIS, berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Andus, Papar, Ahad ini membuka banyak peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan rakyat negeri ini. 

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan kerjasama dengan Filipina dan Indonesia untuk menangani jenayah rentas sempadan khususnya penculikan di pantai timur Sabah yang bersempadan dengan dua negara itu. 

"Penculikan baru-baru ini berlaku di luar perairan antarabangsa, jadi kita perlu mengawal dengan lebih ketat perairan Malaysia melalui kerjasama dengan negara jiran, Filipina dan Indonesia. 

"Sudah tiba masanya kita menguatkuasakan semaksimum mungkin peraturan dan undang-undang yang ada termasuk menyekat aktiviti pelayaran sesuka hati, perdagangan di laut dan apa juga urusan berkaitan di timur Sabah," katanya. - BH Online
Loading...

Related

Lebuhraya Pan Borneo 4007860015301528259

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item