satusabah

Pelajar Malaysia dapat anugerah ciptaan terbaik keseluruhan pertandingan antarabangsa di Geveva

Power Bank Rekaan Pelajar MRSM Raih Anugerah Utama Di Geneva

SEPANG, 20 April (Bernama) -- Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu, mencipta kejutan apabila berjaya merangkul pingat emas dan anugerah ciptaan terbaik keseluruhan pertandingan reka cipta di Pameran Reka Cipta Antarabangsa Geneva 2016 di Switzerland.

Kemenangan itu diraih pelajar tingkatan lima, Ahmad Asyraf Aqil Ariffin dan Ahmad Luqmanul Hakim Ahmad Tarmizi melalui ciptaan mereka 'Power Bank: EXIECO PB' untuk mengetepikan cabaran 1,000 peserta lain daripada 48 negara pada pertandingan yang berlangsung dari 13 hingga 17 April.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Ahmad Asyraf Aqil berkata idea rekaan power bank yang kuasanya dijana melalui air garam itu, tercetus daripada pengalamannya berdepan masalah bekalan elektrik ketika rumahnya dilanda banjir.

Pencipta Power Bank, Ahmad Asyraf (kiri) dan Ahmad Luqmanul Hakim bergambar bersama guru pengiring mereka, Anuar Ghani (tengah).
Pelajar berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berkata idea itu kemudian dikembangkan kepada rakan-rakan di MRSM sebelum memutuskan untuk membangunkan produk mesra alam tersebut.

Beliau ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, menerusi penerbangan dari Dubai, hari ini. Ketibaannya dan Ahmad Luqmanul Hakim yang diiringi guru pembimbing, Anuar Ghani disambut Ketua Penolong Pengarah (Biologi) Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Tanty Kesuma Dewi.

Beliau berkata selain mampu menghasilkan tenaga sehingga 6.5 volt, rekaan yang dikhususkan untuk pengecasan telefon pintar itu juga adalah ringan, mesra alam dan mesra pengguna.

Ahmad Asyraf Aqil berkata power bank itu dibangunkan dengan hanya menggunakan tiga komponen utama iaitu arang, aluminium dan air garam yang bertindak menghasilkan kuasa.

"Penggunaan power bank ini tidak memberi sebarang kesan negatif kepada pengguna kerana mesra alam dan MRSM juga telah menghantar ciptaan kami ini kepada pihak berkenaan untuk dipatenkan," katanya.

Katanya selepas diumumkan sebagai pemenang utama keseluruhan bagi hadiah yang ditaja kerajaan Mesir itu, produk ciptaan mereka telah menarik perhatian wakil daripada beberapa negara seperti Nigeria dan Algeria yang menyatakan hasrat untuk memasarkannya di negara masing-masing selepas dipatenkan.

Penggunaan power bank ini tidak memberi sebarang kesan negatif kepada pengguna kerana mesra alam.
Hasrat itu telah dipanjangkan kepada pihak MRSM untuk menguruskannya kerana banyak prosedur yang perlu dipatuhi dan dipenuhi sebelum ciptaan dapat dipasarkan di negara berkenaan, katanya.

Sementara itu, Ahmad Luqmanul Hakim berkata kejayaan itu merupakan sesuatu yang diimpikan kerana selain untuk membuktikan keupayaan diri, kemenangan itu juga membantu mengharumkan lagi nama MRSM dan Malaysia di persada dunia, khususnya dalam arena penciptaan inovasi baharu.

"Selama hampir dua tahun kami menumpukan tenaga dan kreativiti bagi menghasilkan ciptaan ini dan kejayaan diraih pastinya memberi kepuasan dan kebanggaan kepada seluruh warga MRSM," katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

-- BERNAMA

Tahniah dan bangga dengan pencapaian anak Malaysia - Satu Sabah
Loading...

Related

Teknologi 7854833027196853861

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item