satusabah

Suspek cuba langgar polis akhirnya ditangkap

SEMPORNA - Seorang suspek kes curi dalam bangunan yang disyaki cuba melanggar anggota polis berjaya ditangkap kira-kira jam 2.40 petang Selasa, di kawasan bakau sebuah ladang di Jalan Lihak-Lihak, di sini.

Terdahulu, suspek berusia 40 tahun difahamkan berjaya meloloskan diri ketika dikejar sepasukan polis walaupun beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan suspek.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata, makluman awal mengenai kehadiran suspek di Semporna diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu.

“Pada jam 10.17 pagi, kita menerima maklumat ada kenderaan jenis Isuzu D-Max terlibat dalam kes curi atau samun di Lahad Datu sedang menghala ke Semporna.

“Pasukan kita kemudiannya terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek di KM40 Jalan Semporna-Kunak sebelum pasukan MPV polis mengarahkan suspek berhenti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak memecut dengan laju sehingga dikejar di Jalan Kg Lihak-Lihak dalam kelajuan yang membahayakan pengguna jalan yang lain.

Peter berkata ketika suspek bertindak nekad berpatah balik, polis terpaksa melepaskan tembakan apabila suspek enggan berhenti dan terus memecut laju kenderaannya.

“Suspek tidak memberhentikan kenderaannya walaupun selepas ditembak beberapa kali, malah dipercayai hendak melanggar anggota kita yang bertugas pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata pasukannya menemui kenderaan suspek di sebuah ladang dan hasil pemeriksaan mendapati tiga tayar kereta terbabit pancit akibat terkena tembakan.

“Hasil semakan, kita dapati kenderaan itu dipinjam oleh suspek dan suspek juga disyaki terlibat dengan kes curi dalam bangunan yang dilaporkan di Lahad Datu pada hari sama.

“Selain kenderaan terbabit, kita turut merampas rambut palsu, kayu hoki, beg, dompet, empat telefon bimbit, alat pengecaj semula, buku nota, dua peket hablur jernih disyaki syabu dan sekeping pas IMM13,” katanya.

Menurut Peter, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana memandu dalam keadaan berbahaya sehingga cuba mendatangkan kematian terhadap anggota polis. -Utusan Borneo
Loading...

Related

semporna 8704271488700470634

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item