satusabah

Tiada kaitan agama dan kaum, pemindahan dilakukan berikutan masalah kekurangan guru

BINCANG: Terrence (kanan) hadir pada sesi perbincangan bersama Mojuntin (tengah) dan Isidore (kiri) mengenai isu berkaitan pengetua SMK Limbanak yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan ibu bapa pelajar.
PENAMPANG: Proses pemindahan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak dilakukan berikutan masalah kekurangan guru di sekolah lain dan ia tiada kaitan dengan isu agama mahupun perkauman seperti disebarkan dalam laman media sosial.

Demikian penjelasan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Mojuntin Ebin semasa sesi perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Terrence Siambun dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Gundohing Isidore L berkaitan kes melibatkan pengetua SMK Limbanak di Pejabat Pendidikan Daerah Penampang (PPD), di sini kelmarin.

Terrence berkata, PPD juga memaklumkan bahawa laporan berkaitan pengetua itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi tindakan seterusnya.

Katanya, berdasarkan perbincangan yang dilakukan itu juga, difahamkan kedua-dua guru yang dipindahkan itu adalah bagi tujuan menampung masalah kekurangan guru di SMK Bahang terutama dalam subjek Bahasa Inggeris dan Biologi.

SMK Limbanak dikatakan mempunyai lebihan dua guru Bahasa Inggeris dan empat guru Biologi.

Secara keseluruhan, difahamkan terdapat lebihan sembilan guru di SMK Limbanak manakala di SMK Bahang pula berdepan kekurangan lapan orang guru.

Dengan itu, PPD Penampang berusaha menyeimbangkan penempatan guru itu bagi mengekalkan prestasi pendidikan di daerah Penampang secara keseluruhan.

Dalam perbincangan itu juga, Terrence diberitahu bahawa pemilihan seorang guru yang dipindahkan kerana guru berkenaan memang menetap di kawasan Bahang, manakala bagi seorang lagi guru, belum ada surat pemindahan dikeluarkan.

“Dalam berhadapan isu sebegini, komunikasi yang baik antara pentadbir, guru, PIBG, komuniti amat diperlukan supaya dapat mencapai kecemerlangan sekolah sejajar dengan anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Untuk itu, PPD telah menghantar laporan kepada Jabatan Pendidikan bagi tindakan seterusnya,” jelas Terrence.

Berikutan masalah yang berlaku, Terrence menyarankan ibu bapa pelajar SMK Limbanak supaya bertenang dan menunggu tindakan berikutnya daripada Jabatan Pendidikan. Ia kerana JPN akan memantau perkembangan kes ini dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, berilah peluang kepada Jabatan Pendidikan dan PPD menyelesaikan permasalahan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Berdasarkan kenyataan yang disebarkan melalui WhatsApp dipercayai daripada ibu bapa pelajar, dikhabarkan dua guru SMK Limbanak menerima surat pindah sekolah. Kesemua guru yang dipindahkan pula adalah guru bukan beragama Islam.

Dalam kenyataan itu memberitahu bahawa mereka juga tidak tahu tujuan pengetua itu memindahkan guru-guru di sekolah berkenaan.

Sebagai ibu bapa yang ada anak belajar di SMK Limbanak, Terrence berasa risau dengan perkara itu. Oleh itu, mereka mahu Yang Dipertua PIBG mengambil tindakan sewajarnya supaya guru-guru yang baik dan cemerlang dikekalkan di sekolah berkenaan.

Ibu bapa juga mahu pemimpin di kawasan Limbanak seperti Datuk Clarence Bongkos Malakun dan Datuk Donald Mojuntin agar campur tangan mengatasi masalah itu. - Utusan Borneo
Loading...

Related

Isu Semasa 807284130251146079

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item