satusabah

Lelaki Didakwa Bunuh Wanita di Kundasang

KOTA KINABALU: Perbicaraan terhadap seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang wanita, bermula di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin. 

Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun memberitahu Hakim Datuk Nurchaya Arshad, pihaknya akan membuktikan bahawa tertuduh Menase Ladang membunuh mangsa Hamidah Laka, 29. 

Menurutnya, pada 29 Oktober 2014, Lukas Ladang dan Kanisius Subang sedang bekerja di ladang mereka di Kampung Mesilou, Kundasang, Ranau. 

Selepas makan tengah hari, mereka menyambung semula kerja-kerja ladang. Tiba-tiba mereka terdengar suara jeritan meminta pertolongan dan melihat seorang wanita merangkak. 

“Lukas pergi ke arah wanita terbabit untuk menawarkan pertolongan dan bertanya mengapa tercedera. “Si mati menyatakan, tertuduh menikamnya dan melarikan diri ke arah bukit,” katanya dan menambah, Lukas meminta Kanisius menolong mangsa, sementara beliau mengejar tertuduh. 

Bagaimanapun, Lukas gagal mengejar tertuduh dan pada masa yang sama, Kanisius ada bertanyakan soalan sama dan mangsa menyatakan jawapan yang sama. “Lukas dan Kanisius bersama abang si mati menghantar mangsa ke klinik dan selepas itu ke Hospital Ranau, di mana akhirnya mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya. 


Gan berkata, pihaknya akan mengemukakan pada hari sama, seorang lagi pekerja ladang Marwan Ali menerima panggilan telefon daripada Marianus Tukan, untuk menghalang tertuduh daripada melarikan diri. 

Marwan mengetahui tertuduh berada di dalam kenderaan Hilux yang menuju ke seberang jalan, lalu beliau menghalang kenderaan berkenaan. “Beliau meminta tertuduh keluar dan membawanya ke rumah pekerja Mince Samuel. Pihak pendakwaan akan membuktikan, semasa berada di sana, tertuduh meminta pakaian bersih kerana basah. 

“Pada keesokan hari, tertuduh menunjukkan senjata yang digunakan kepada pihak polis iaitu sebilah parang dari tempat kediamannya di rumah pekerja Kampung Mesilou,” katanya. 

Menurutnya, analisis DNA menunjukkan, spesimen yang diambil daripada senjata berkenaan mengandungi DNA bercampur, dan salah seorang penyumbangnya ialah tertuduh. 

Pemeriksaan bedah siasat mangsa menunjukkan, terdapat kesan luka di bibir kanan dan gusi mangsa, selain luka di sebelah dada kanan dan tikaman di belakang dada kiri. 

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Oktober 2014 jam 1.30 petang, di kawasan ladang, Kampung Mesilou, Ranau. 

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung mandatori. Peguam Mohd Syahirulrazi Mohd Jaini mewakili tertuduh.

Related

Kes Bunuh 1773934971856758169

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item