satusabah

Syabas Gadis Kudat Terima Anugerah Khas Naib Canselor UMK

NUR HAFIZAH MOHAMAD JALIN gembira bersama Mohamad Jalin Mojiastin dan Mariah Tukaron dalam Istiadat Konvokesyen Ke-6 UMK di Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU 26 Sept. – Gadis cantik dari Kampung Bangau, Kudat, Sabah, Nur Hafizah Mohamad Jalin, 24, pada mulanya tidak keruan apabila ‘dipaksa’ ibu bapanya menerima tawaran menyambung pelajaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Namun keputusannya mendengar nasihat ibu bapanya ternyata berbaloi apabila dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Khas Naib Canselor semasa Istiadat Konvokesyen Ke-6 UMK.

Nur Hafizah yang berdarah campuran Rungus dan Kagayan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) dengan cemerlang apabila memperoleh Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) 3.56.

Menurutnya, dia terlibat dalam 50 program kesenian dan kebudayaan terutama berkaitan seni suara dan tarian sehingga pernah menjadi salah seorang anggota kumpulan persembahan UMK semasa program World Music Week 2015 di Beijing, China. “

Emak, Mariah Tukaron, 49, dan ayah, Mohamad Jalin Mojiastin, 51, memujuk supaya terima tawaran masuk UMK dan jika selepas tamat satu semester saya masih tidak selesa, maka boleh berhenti.

Kelantan sangat jauh dari Sabah dan saya tidak pernah terfikir datang ke sini, apatah lagi dengan masalah bahasa atau loghat yang amat berbeza. “Hasil bergiat aktif dalam kegiatan kesenian menjadikan saya jatuh cinta kepada negeri ini.

Saya dapat belajar tarian Mak Yong yang gerakannya sangat lembut daripada apa saya pernah pelajari di Sabah,” kata­nya ketika ditemui selepas sidang keempat Istiadat Konvokesyen Ke-6 UMK di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 302 graduan dari program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan, Lojistik, Kesihatan dan Peruncitan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

Nur Hafizah yang berbakat dalam nyanyian sehingga mendapat jolokan ‘Siti Nurhaliza’ pernah menerima Anugerah Lestari Warisan (Seni Suara) dalam Majlis Anugerah Citra Seni UMK 2015, selain menjadi anggota kumpulan yang merangkul naib johan ka­tegori tarian tradisional daerah di Festival Tari Malaysia 2015.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Azrayanti Jamil, 24, dari Telok Panglima Garang, Selangor, terharu dengan keha­diran ibunya, Asmah Jawahir, 60, yang walaupun lumpuh akibat ‘angin ahmar’ sanggup datang berkongsi kegembiraan di hari istimewanya.

Azrayanti yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kesihatan berkata, ibunya tidak pernah ketinggalan mengikuti kesemua majlis konvokesyen adik-beradiknya yang lain semasa masih sihat.

Related

gadis sabah 1892159389259972740

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item