satusabah

Berita SPRM Sabah, Terkini RM60 juta lagi nilai harta ditaksir SPRM

KOTA KINABALU: Kira-kira RM60 juta lagi nilai harta yang dirampas daripada pengarah dan timbalan pengarah dalam kes penyelewengan di sebuah jabatan kerajaan negeri di Sabah, selesai ditaksir hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu BH, RM30 juta daripada jumlah itu adalah nilai 127 geran tanah yang dirampas daripada timbalan pengarah, manakala RM30 juta lagi anggaran wang dalam akaun milik kedua-dua suspek di luar negara.

Difahamkan, geran tanah yang dirampas daripada timbalan pengarah terbabit adalah berstatus tanah perumahan, pertanian dan komersial di beberapa lokasi di Sabah.

"Bagi akaun di luar negara, maklumat yang diterima mendedahkan ada beberapa akaun milik kedua-dua suspek di tiga negara dan berdasarkan siasatan, dianggarkan lebih RM30 juta dipindahkan ke akaun terbabit.

"Maklumat awal mendapati, pengarah terbabit memindahkan wang lebih kurang RM1 juta ke akaunnya di luar negara, manakala bakinya ialah milik timbalan pengarah tersebut," katanya.

Ini menjadikan nilai rampasan pelbagai harta termasuk wang tunai, wang dalam bank tempatan, kereta mewah, barang kemas, geran tanah dan wang dalam akaun luar negara yang dirampas SPRM daripada kedua-dua suspek dianggarkan mencecah RM180 juta setakat hari ini.

Sementara itu, SPRM sudah merakam percakapan seramai 40 orang saksi berhubung siasatan 'Ops water' yang membabitkan kedua-dua suspek berkenaan.

Individu terbabit terdiri daripada ahli keluarga timbalan pengarah dan pekerja daripada beberapa syarikat yang dipercayai terbabit secara langsung dalam projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion.

SPRM dijangka memohon untuk menyambung reman terhadap kedua-dua suspek dan dua lagi individu iaitu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang juga abang timbalan pengarah dan seorang akauntan yang tamat esok.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Related

SPRM 5877879649784921961

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item