satusabah

Buang Tepi Jalan

SIBU: Sibu merekodkan kes buang bayi pertama tahun ini apabila seorang bayi lelaki ditemui di tepi jalan berdekatan sebuah tong sampah di Jalan Lai Chee di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, polis sedang menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Ini adalah kes buang bayi pertama direkod di sini tahun ini dan jika sabit kesalahan, ibu atau individu terlibat bakal berdepan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau keduaduanya sekali,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Saiful Bahri berkata, tiada saksi melihat bagaimana bayi lelaki itu diletak di lokasi penemuan dan polis tidak menjumpai barang milik bayi di sekitar tempat kejadian.

Terdahulu, sekitar jam 6 pagi semalam, sekumpulan pelajar sekolah ternampak seorang bayi cukup sifat dan masih bertali pusat di tepi jalan berdekatan tong sampah di situ. Mereka dikatakan memaklumkan penghuni rumah berada di depan lokasi penemuan tersebut.

Sejurus kemudian, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Catherine, 27, bergegas keluar dan mendapati bayi tersebut dalam keadaan kesejukan dan masih hidup.

“Apabila mendapati bayi itu menggigil kesejukan, saya membawanya ke dalam rumah sebelum membalut dengan kain,” jelasnya.

Menurut Catherine, beliau terus membersihkan bayi itu dengan air suam kuku, kemudian menyusukan bayi berkenaan.

“Sebagai ibu tiga anak lelaki, saya tidak mengalami masalah menjaga bayi ini,” katanya sambil memberitahu bayi itu menangis sebaik sahaja diberi susu.

Dia kemudian menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian pada jam 6.45 pagi. Bayi tersebut dibawa ke Hospital Sibu oleh pihak ambulans yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7 pagi.

Sementara itu, Saiful Bahri berkata, bayi tersebut cukup sifat, sihat dan beratnya 2.34 kilogram dan pihaknya masih belum mengenal pasti bangsa bayi berkulit cerah itu.

Difahamkan, bayi tersebut baharu lahir dan masih bertali pusat akan ditempatkan di Hospital Sibu untuk jagaan serta pemantauan susulan pihak hospital.

“Bayi ini akan diserah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk siasatan susulan,” tambahnya.

Related

Kes Buang Bayi 5386663099466134976

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item