satusabah

Pasangan kekasih disyaki merompak

KUCHING - Polis memberkas sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam rompakan di Kuching dan Padawan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar M M Sree Shunmugam berkata pasangan itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 21 tahun dan teman wanitanya berusia 24 tahun ditahan kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.

Mereka ditahan apabila sepasukan polis Unit D9 diketuai Asisten Komisioner Taruna Marian memintas sebuah kereta, Perodua Viva berwarna jingga di Petra Jaya.

Dev Kumar berkata rompakan pertama mereka berlaku pada jam 4.15 petang di sebuah kedai serbaneka di Jalan Song Thian Cheok.

"Suspek lelaki bersenjatakan sebilah sabit, menundukkan juruwang sementara teman wanitanya mengambil semua wang tunai berjumlah RM1,284 daripada kotak tunai dan dua telefon bimbit.

Kedua-dua suspek kemudiannya beredar dengan sebuah Perodua Viva jingga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek kemudian menuju ke sebuah kedai gambar di MJC Batu Kawa kira-kira jam 5.10 petang.

"Suspek lelaki mencekik leher seorang pembantu kedai wanita dan menolaknya ke lantai sementara teman wanitanya mengambil beg tangan yang mengandungi wang tunai RM1,000, dokumen pengenalan diri dan kad bank.

Suspek wanita juga mengambil sebuah kamera dan empat telefon bimbit daripada kedai itu. Kedua-dua suspek kemudiannya beredar menaiki Perodua Viva jingga," katanya.

Dev Kumar berkata kedua-dua suspek berada di bawah pengaruh dadah semasa diberkas.

"Kedua-dua mereka mengaku melakukan rompakan dan kebanyakan daripada barang hasil rompakan dijumpai semula di dalam Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, " kata beliau. - Bernama

Related

Perompak 4549685913390919082

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item