satusabah

Penasihat menteri Australia antara ditahan

Canberra: Penasihat Menteri Industri Pertahanan Australia antara sembilan rakyat negara itu yang ditahan polis Malaysia semalam, kerana berkelakuan tidak senonoh di Litar Antarabangsa Sepang ketika pemandu Australia Daniel Ricciardo memenangi Grand Prix F1 Malaysia.

Pegawai kerajaan Australia mengesahkan penasihat kepada Chris Pyne itu, Jack Walker, antara sembilan lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun ditahan kerana menghina bendera kebangsaan Malaysia selepas menanggalkan pakaian hingga tinggal seluar dalam kecil bercorak Jalur Gemilang di depan ribuan penonton.

Pejabat Pyne menyatakan kes itu sedang dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia. “Sehingga kami mendapat penjelasan lanjut, tidak wajar untuk membuat ulasan,” kata kenyataan kerajaan Australia.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce, berkata perbuatan mereka itu amat tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Anda berada di negara orang, anda perlu berhati-hati dengan apa anda lakukan. Namun saya pasti, saya berharap kerajaan Malaysia akan faham tiada niat buruk dalam kejadian itu. Bodoh? Menang bodoh. Niat buruk? Tidak,” katanya di sini.

Menteri Kewangan Scott Morrison memberitahu Sydney Radio 2GB, penahanan itu sebagai peringatan supaya menghormati undang-undang dan budaya negara dilawati.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mereka direman empat hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Menurutnya, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 14 kanun sama iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Related

jalur gemilang 6731013220323793372

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item