satusabah

Warga Singapura Maut Jatuh Gaung

RANAU: Seorang warga Singapura maut setelah terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter di kawasan Sayat-Sayat di Gunung Kinabalu ketika mengadakan latihan pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau Jimmy Lagung memberitahu mangsa, Woon Tai Kiang yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi perlumbaan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, dilaporkan hilang setelah gagal melaporkan diri di checkpoint terakhir, pada hari berkenaan.

“Mangsa dikatakan telah menjalani sesi latihan untuk perlumbaan gunung antarabangsa yang akan diadakan di sini pada 16 Oktober ini. Sekitar jam 12 tengah malam Sabtu, pihak Taman-Taman Sabah mendapati mangsa belum melalui Checkpoint Timpohon Gate dan mangsa juga gagal dihubungi.

“Anggota Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) bersama Unit Mencari dan Menyelamat (SAR) Taman-Taman Sabah membuat pemeriksaan di sekitar Laban Rata serta beberapa penginapan di Gunung Kinabalu namun mangsa gagal ditemukan.

“Disebabkan keadaan cuaca pada ketika itu kurang baik dan berkabus, pihak Taman-Taman Sabah mengambil keputusan untuk menangguhkan operasi SAR sehingga esok hari (kelmarin),” jelas beliau.

Jimmy berkata, operasi SAR disambung semula pada jam 6 pagi kelmarin bersama enam anggota MOSAR dan beberapa renjer Taman-Taman Sabah, di mana operasi dimulakan dari lokasi Laban Rata ke puncak gunung dan juga dari lokasi Laban Rata ke Timpohon Gate.

Menurutnya pada jam 7.30 pagi, salah seorang anggota MOSAR melaporkan telah menemui mangsa di lokasi berhampiran Sayat-Sayat, di mana mangsa terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter.

Tambahnya, anggota penyelamat yang turun ke lokasi di mana mangsa terjatuh mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak bernyawa, kemungkinan ekoran kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Tindakan seterusnya adalah membawa mangsa naik dari gaung dan menuju ke Timpohon Gate, di mana anggota perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Related

Nahas 299286103763783218

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item