satusabah

Yahoo didakwa imbas e-mel disedia risikan AS

SAN FRANCISCO 5 Okt. – Yahoo Inc. (Yahoo!) didakwa secara rahsia membina sebuah program perisian khas bagi mengimbas e-mel baharu pelanggannya berdasarkan maklumat tertentu yang disediakan oleh agensi risikan Amerika Syarikat (AS), pada tahun lalu.

Menurut bekas pekerja Yahoo!, syarikat itu didakwa ‘mematuhi’ permintaan sulit kerajaan AS de­ngan mengimbas ratusan juta akaun Yahoo Mail atas perintah Agensi Keselamatan Nasional (NSA) atau Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Beberapa pakar pemantauan berkata, insiden tersebut merupakan kes pertama melibatkan sebuah syarikat internet AS yang bersetuju kepada permintaan agensi risikan. Langkah itu sedikit berbeza dengan tindakan memeriksa mesej yang disimpan atau mengimbas sebilangan kecil akaun e-mel dalam masa tertentu.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali, masih tidak diketahui jenis maklumat yang dicari pegawai risikan itu dan mereka hanya mahu Yahoo! mencari beberapa ciri karakter yang mungkin sebaris perkataan atau lampiran.

Reuters masih gagal menentukan data yang diserahkan Yahoo! kepada agensi risikan itu dan kemungkinan pegawai risikan juga membuat permintaan serupa kepada syarikat penyedia e-mel lain.

Dua bekas pekerja Yahoo! mendakwa, keputusan Ketua Eksekutif syarikat itu, Marissa Ma­yer untuk mematuhi arahan ber­kenaan mendorong Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Yahoo!, Alex Stamos meletak jawatan pada Jun 2015.

Stamos kini berkhidmat bersama Facebook Inc. dalam bahagian keselamatan.

Walau bagaimanapun, Yahoo! memberikan jawapan ringkas bagi mengulas permintaan Reuters seperti berikut: “Yahoo! me­rupakan syarikat yang mematuhi dan terikat de­ngan undang-undang AS.” 
Yahoo! pada masa sama enggan mengulas lanjut.
Pada masa sama, Stamos menolak permohonan untuk ditemu bual.

Related

yahoo 7881527537025533549

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item