satusabah

Rakyat Malaysia berenang, menyorok dalam hutan elak ditangkap imigresen Australia

Berenang merentasi tasik dan menyorok di dalam hutan. Begitulah ter­desaknya rakyat Malaysia yang bekerja secara haram apabila digempur Imigresen Australia.

Mereka hidup dalam ketakutan diburu dan perlu nekad serta licik meloloskan diri daripada kepungan pihak berkuasa apabila berdepan dengan operasi.

Jika di Malaysia, kita menonton di televisyen bagaimana Imi­gresen Malaysia menyerbu penempatan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh.

Suasananya sama di sini, cuma yang diburu adalah rakyat Malaysia yang bekerja secara tidak sah. Nasib orang kita sama dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia. Menyedihkan.

Seorang pekerja Malaysia turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan serbuan di kawasan ladang blueberry di utara Coffs Harbour yang menyebabkan 34 rakyat Malaysia termasuk dua kanak-kanak ditahan Ogos lalu.

Shahdam, awal 50-an, yang berasal dari utara berkata, pasukan imigresen membuat serbuan secara teratur dengan membuat kepungan darat termasuk menggunakan anjing pengesan.

Di udara pula, helikopter membuat tinjauan untuk mengesan pergerakan pekerja haram yang melarikan diri.

“Mana hang nak lari? Bila ter­desak, mesti buat benda nekad, ada yang sampai berenang da­lam tasik. Ramai yang selamat dengan cara ni.

“Ada yang masuk hutan menyorok, bila line clear kita keluarlah. Kalau di ladang, kita mesti lari dalam pelbagai arah secara individu, jangan bergerak dalam kumpulan, apa kat depan, redah terus,” katanya.

Selepas menggempur ladang, Imigresen Australia juga membuat operasi di stesen-stesen kereta api bagi mengesan pekerja haram yang mahu melarikan diri ke kawasan lain.

Bagi pekerja yang memiliki kenderaan sendiri, misi mereka lebih mudah namun bagi Shahdam dan rakan-rakannya, mereka tiada alternatif yang lebih baik.

“Aku yang tak ada kereta payah lah, sampai ke stesen kereta api tak turun terus, duduk dalam kereta kawan dulu. Intai sekeliling.

“Bila dah sah line clear, baru beli tiket lepas tu menyorok dalam kereta dulu sebelum kereta api sampai,” dedahnya.

Related

Berita Semasa 6215569791027672542

PEMASARAN SATU SABAH




Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item