satusabah

Empat Maut Dalam Kemalangan Libatkan Empat Kenderaan Di Papar

PAPAR - Empat maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 7, Jalan Papar - Beaufort, awal pagi tadi.

Mangsa Freddy Abbei, 20, Kasmawati Ibrahim, 47, Ibert Kinsui, 45, dan Fatimah Haris, 30, manakala dua mangsa yang cedera adalah Nurhazirah Mattali, 19, dan Mohd Akil Afandi Jumadi, 3, iaitu anak kepada Fatimah.

Ketua Polis Daerah Papar, DSP George Abd Rakman berkata kemalangan kira-kira pukul 6.40 pagi itu membabitkan sebuah lori, sebuah van dan dua kenderaan pacuan empat roda.

Freddy yang merupakan pemandu van dan penumpangnya, Kasmawati meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa, Ibert yang juga pemandu lori serta seorang lagi penumpang van, Fatimah meninggal dunia di Hospital Papar, juga akibat kecederaan di kepala.

Kedua-dua pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

George berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian van berkenaan dipandu dari arah Kampung Sinar Baru ke Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatimah, Papar.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tempat kejadian, lori dipandu Ibert yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki laluan van lalu merempuhnya.

"Lori itu kemudian merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang datang dari arah bertentangan.

"Sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang datang dari arah sama dengan lori gagal mengelak lalu bergesel dengan lori tersebut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

George juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan hanya memotong kenderaan lain dalam keadaan selamat.

--BERNAMA
Loading...

Related

Kemalangan di Papar 4293722647197311519

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item