satusabah

SAFA bantu rayuan Matlan dan rakan-rakannya

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sentiasa menyokong dan membantu enam bekas pemain negeri berkenaan dalam membuat rayuan berhubung hukuman penggantungan seumur hidup yang dijalani mereka selepas didapati terbabit rasuah pada tahun 1995.

Enam pemain itu termasuk legenda bola sepak negara, Matlan Marjan serta lima bekas rakan sepasukannya iaitu Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.

"SAFA sentiasa membantu mereka membuat rayuan kerana bakat yang ada pada mereka amat diperlukan untuk membangunkan industri bola sepak di negeri ini (Sabah)," kata Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihak SAFA tiada halangan untuk memberi kebenaran kepada enam pemain terbabit untuk terlibat dalam arena bola sepak di Sabah.

"Di pihak SAFA, kita tiada halangan dan daripada segi usia, mereka mungkin boleh menjadi jurulatih atau pengurus namun jika mereka ingin menabur bakti di luar Sabah, mereka perlu mendapat kebenaran FAM," katanya.

Sementara itu, Alijus turut menafikan FAM pilih kasih berhubung keputusan pengampunan sepenuhnya kepada 78 bekas pemain yang pernah terbabit skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada 1994-95.

"Saya ingin membuat penjelasan, khususnya kepada penyokong serta peminat bola sepak di Sabah, enam pemain terbabit bukan saja digantung seumur hidup, malah turut dikenakan hukuman buang daerah.

"Hukuman ini agak berat berbanding dengan bekas pemain lain yang hanya menjalani hukuman penggantungan bertempoh, bagaimanapun, kami telah mengadakan perbincangan dan pihak FAM kini berusaha melepaskan mereka (daripada penggantungan), cuma perlu rujuk kepada Fifa terlebih dahulu," katanya. -Stadium Astro
Loading...

Related

SAFA 307091726902820566

PEMASARAN SATU SABAH




ISU PANAS 1MDB

Jumlah Paparan Halaman

POPULAR

Recent

Comments

Connect Us







item